Pengasas Zara perluas perniagaan

MADRID, 17 NOV – Jutawan Sepanyol Amancio Ortega, pengasas kedai pakaian terbesar Zara, telah memperluaskan lagi aset hartanah globalnya termasuk pejabat-pejabat yang digunakan oleh Facebook dan Amazon di Seattle dan Oxford Street, London.

Mempelbagaikan perniagaannya bagi terus menjana kekayaan, nilai portfolio hartanah yang dimiliki oleh syarikat pelaburan Ortega, Pontegadea Inversiones bernilai kira-kira 10 bilion euro (AS$11 bilion). Pontegadea mengumpulkan hampir semua dividen yang diperoleh Ortega – 1.6 bilion euro pada 2019 – dan kemudian melaburkan duit tersebut dalam hartanah, jurucakap syarikat itu berkata.

Pengusaha berusia 83 tahun itu telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Inditex, pemilik Zara pada tahun 2011, tetapi dia masih memiliki 59 peratus rangkaian runcit fesyen terbesar dunia, juga memiliki jenama fesyen popular seperti Massimo Dutti dan Bershka.

Dia juga merupakan individu keenam terkaya dunia, menurut Forbes.

Pembelian hartananya yang terbesar dilakukan pada awal bulan ini, di mana Pontegadea membeli bangunan pejabat yang digunakan oleh Facebook di Seattle bernilai AS$415 juta (376 juta euro) dan kompleks ‘Troy Block’ di bandar sama yang menempatkan sebahagian ibu pejabat Amazon bernilai AS$740 juta. – AFP

Gambar fail pada 22 Disember 2018 menunjukkan pengunjung memenuhi laluan pejalan kaki di Oxford Street di pusat London. – AFP