Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Negara Brunei Darussalam pada masa ini, mengalami situasi pengawalan jangkitan seperti negara-negara lain di dunia di mana ia merupakan satu kejadian yang di luar jangkaan dan berskala besar dengan pengawalan jangkitan COVID-19 ialah mengesan orang yang dijangkit secepat mungkin, diasingkan, kontak dicari dan perkumpulan besar ditegah.
Pengasingan bagi mereka yang kembali ke Negara Brunei Darussalam dari luar negara termasuk para penuntut adalah perlu kerana mereka baharu kembali dari negara-negara yang mempunyai kes jangkitan yang banyak.
“Kita mahu membuat pengasingan supaya mereka tidak bercampur dengan ahli keluarga rumah dan dalam pengasingan 14 hari itu, sesiapa yang demam, perlulah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan ataupun pihak berkuasa yang mengawal mereka pada masa ini.”
Mereka akan terus dipantau serta diperiksa untuk memastikan bahawa mereka tidak membawa penyakit COVID-19, terang Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai dengan
pengasingan diri penuntut-penuntut yang pulang dari luar negara semasa Sidang Media Mengenai Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau mendedahkan bahawa dalam tempoh dua hari kebelakangan ini, hampir 2,000 orang penuntut yang belajar di luar negara telah kembali ke Brunei dalam tempoh masa yang singkat dan diakui terdapat beberapa masalah yang dihadapi yang menjejaskan
kelancaran pelaksanaan seperti kelambatan bas dan beberapa kekurangan lain yang telah diuruskan.

Yang Berhormat Dato menekankan bahawa pengasingan itu bukannya bererti percutian (holiday) tetapi ia adalah untuk kepentingan negara dan bukan untuk menikmati kemewahan
menginap di hotel.
Beliau menerangkan bahawa usaha dibuat untuk memberikan keselesaan kepada mereka yang melalui pengasingan itu tetapi tahap jangkaan (expectation) mereka itu adalah berbeza dan berharap mereka yang diasingkan dapat menyokong usaha itu.
Mereka hanya perlu diasingkan selama 14 hari sahaja dan usaha itu adalah untuk kepentingan mereka, keluarga mereka dan negara. Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa terdapat juga penuntut yang dibenarkan untuk melakukan pengasingan diri di rumah mereka tetapi ia perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti mempunyai bilik dan tandas yang sendiri serta penghuni rumah tidak mempunyai penyakit kronik.
“Keluarga mesti diingatkan, jangan sahaja mudah teruja untuk membawa balik anak-anak mereka, hanya kerana anak mereka membuat aduan. Kami harus bergantung pada kepercayaan terhadap awda, kami harus percaya pada kita, yang kita mempunyai kemudahan ini.
“Jangan membawa balik hanya kerana anak kita berkata bahawa bilik itu tidak elok, kurang selesa dan makan tidak cukup.”
Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato juga berkata bahawa pihaknya kini berhadapan dengan jumlah bilik bagi pengasingan yang kurang kerana dalam tempoh masa yang singkat, untuk menyediakan beribu-ribu bilik mempunyai cabarannya tersendiri.
Oleh itu, para pemilik hotel dan apartmen, boleh tampil ke hadapan untuk membantu kerajaan pada masa ini, menyediakan bilik bagi kira-kira 800 orang pelajar dan orang awam kembali ke tanah air dalam tempoh dua hari ini, kerana mereka perlu untuk diasingkan.
Beliau menerangkan bahawa pengasingan yang dijalankan itu, mempunyai cabarannya yang tersendiri dan pada masa yang sama, mereka yang diasingkan perlu ingat bahawa pengasingan itu bukannya satu percutian tetapi ia adalah untuk mengawal
penularan wabak COVID-19.