Pengasuh ditahan disyaki dera anak damit

IPOH, 24 SEPT – Seorang pengasuh wanita warga tempatan ditahan polis kerana disyaki mendera seorang anak damit lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek berusia 22 tahun itu ditahan, selepas pihaknya menerima laporan pada pukul 3:03 pagi tadi berhubung cubaan bunuh terhadap anak damit berkenaan.

Beliau berkata laporan tersebut menyatakan pada kira-kira 7:10 pagi Rabu lepas mangsa telah dihantar oleh bapa kandung ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat dan baik.

“Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2:35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh bagi mengambil mangsa, kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

“Setibanya bapa mangsa ke rumah pengasuh tersebut mendapati kepala mangsa mengalami kesan bengkak, dan bertanyakan kepada pengasuh punca kecederaan dan dimaklumkan semula oleh pengasuh bahawa mangsa jatuh ketika didukung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalthrash berkata mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala retak, dan kini anak damit itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal.

Menurutnya berdasarkan maklumat awal, suspek dikatakan telah menghempas kepala mangsa sebanyak dua kali ke lantai kerana marah, setelah mangsa menangis tidak berhenti sebelum itu.  

“Suspek berhenti melakukan perbuatan tersebut setelah menyedari mangsa mula tidak sedarkan diri,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – Bernama