Pengawal mengamuk kerana dipecat, serah diri

MANILA, 2 MAC – Seorang pengawal keselamatan yang dipecat yang telah menembak seseorang dan menahan 30 lagi sebagai tebusan di sebuah pusat membeli-belah di Manila hari ini telah menyerah diri kepada pihak berkuasa, menamatkan ketegangan seharian hingga menakutkan pembeli-belah dan mencetuskan tindak balas polis secara besar-besaran.

Pengawal itu berjalan keluar dari V-Mall, di mana dia telah dibenarkan untuk bercakap ringkas kepada media sebelum diiringi oleh pegawai bersenjata yang sekali gus telah menangkapnya.

Dia mengadu tentang cara layanan majikannya yang menganiaya.

Tebusan-tebusan juga dibawa keluar dari bangunan itu namun polis tidak mengatakan sama ada mereka telah dicederakan mahupun jumlah sebenar yang ditangkap pada kejadian keganasan itu.

Drama bermula apabila suspek menembak pengawal keselamatan yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan stabil, kata Francis Zamora, datuk bandar San Juan City.

Anggota polis ketika menahan Archir Paray (tengah) selepas dia menyerahkan diri di luar kompleks membeli-belah di Manila, kelmarin. – AFP
Tebusan berjalan keluar selepas dibebaskan oleh penawan tebusan, Archie Paray di luar pusat beli-belah di Manila pada 2 Mac. – AFP

Zamora memberitahu para wartawan yang penawan tebusan itu sedih selepas kehilangan kerjanya.

Pihak berkuasa bekerja selama berjam-jam untuk meyakinkannya bagi menyerah diri, dan kemudian pada hari itu juga sidang media diadakan di mana para pegawai syarikat tersebut meminta maaf kerana memecat suspek.

“Saya sangat menyesal atas kekurangan saya,” kata seorang penyelianya.

“Disebabkan ini, saya akan meletak jawatan…untuk memberi penyelesaian kepada masalah ketika ini.”

Polis sedang berhubungan dengan suspek selama berjam-jam menerusi walkie talkie.

Pusat beli-belah Filipina itu merupakan nadi penduduk di sana yang memuatkan restoran dan kedai hingga gereja dan kemudahan perubatan. Bangunan itu dipenuhi pelanggan ketika keganasan itu berlaku.

Zamora berkata pihak berkuasa percaya terdapat ‘sekitar 30’ orang telah ditawan.

Seorang saksi, John Paul Buenavista memberitahu AFP yang dia menyaksikan seorang mangsa cedera – dipercayai pengawal di pusat itu – dibawa keluar menggunakan kerusi roda dengan tergesa-gesa.

“Kami mendengar tiga tembakan. Kemudian kami melihat orang ramai bertempiaran lari, dengan mengatakan mereka melihat seseorang telah ditembak,” katanya. – AFP