Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pengayuh hias beca dengan jalur gemilang curi tumpuan

    KOTA BAHARU – Setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, pengayuh beca Che Kamaruddin Che Amat, 63, pasti akan menghias becanya dengan Jalur Gemilang bagi memupuk semangat cintakan tanah air.

    Warga emas yang menetap di Berek 12, di sini berkata tahun ini beliau membuat kelainan dengan membuat hiasan Jalur Gemilang dan bendera negeri Kelantan setinggi empat meter pada becanya untuk menarik perhatian orang ramai terutama penumpang beca dan pelancong asing.

    “Lebih lima tahun saya hias beca ini dengan bendera Malaysia sebaik sahaja memasuki bulan Ogos. Saya puas hati apabila dapat beri kelainan…tahun ini saya hias bendera dengan tinggi supaya dari jauh penumpang boleh nampak beca saya ini,” katanya ketika ditemui Bernama dekat Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.

    Bapa kepada 10 anak itu berkata beliau membelanjakan sebanyak RM70 untuk membeli sebanyak 65 Jalur Gemilang dan bendera Kelantan pelbagai saiz untuk dihiaskan pada becanya seiring dengan usia negara menyambut kemerdekaan yang ke-65 tahun.

    “Memang tidak dinafikan apabila saya memberi kelainan pada beca ini dengan hiasan Jalur Gemilang saya akan dapat ramai penumpang, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dengan beca saya sebagai tanda kenangan,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM20 kepada penumpangnya mengikut jarak di sekitar Kota Bharu.

    Che Kamaruddin berkata pengayuh beca lain turut menghias kenderaan mereka dengan Jalur Gemilang untuk sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

    “Apabila kita hias beca dengan Jalur Gemilang ini, kita akan rasa gembira sebab dapat menunjukkan kepada orang ramai terutama pelancong asing bahawa Malaysia ini sebuah negara yang kaya dengan seni dan budaya,” katanya yang sudah 35 tahun mengayuh beca sebagai sumber pendapatannya. – Bernama

    Che Kamaruddin Che Amat mengayuh beca yang dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan di sekitar Pasar Siti Khadijah.- Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...