SHANGHAI, 17 Feb – Seorang lelaki China yang meletupkan bom buatan sendiri di dalam lapangan terbang antarabangsa Shanghai dua tahun lalu telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun hari ini, menurut sebuah mahkamah di bandar berkenaan.
Tiga orang mengalami kecederaan dalam serangan pada 12 Jun di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong oleh Zhou Xingbai, yang dikatakan oleh mahkamah telah bergelut dengan masalah peribadi dan percintaan.
Zhou, yang berusia 29 tahun pada masa serangan, mereka bom sementara dengan menggunakan bunga api dan botol bir.
Kenyataan mahkamah berkata Zhou menggolek tiga di antara mereka pada orang ramai sebelum mencuba bunuh diri dengan mengelar lehernya dengan sebilah pisau.

Dua daripada bom meletup, mencederakan beberapa penumpang dan menyebabkan pembatalan dan pe-nangguhan penerbangan.
Meskipun masalah peribadi yang dialami oleh Zhou, mahkamah berkata satu penilaian psikologi tidak mendapati sebarang tanda penyakit mental.
Berasal dari barat daya wilayah Guizhou, Zhou mempunyai pendidikan sekolah tinggi dan bekerja dalam beberapa jawatan sebelum berpindah ke Kunshan pada 2014, sebuah bandar berhampiran Shanghai, kata polis China.
Hukuman Zhou adalah berat disebabkan kejadian berlaku di tempat awam yang besar, kata kenyataan mahkamah. – AFP