KUALA LUMPUR, 3 Feb – Pengeksport makanan Malaysia ke Amerika Syarikat berkemungkinan besar perlu menjalani proses pengauditan di peringkat kilang serta prosedur simpanan rekod masing-masing selaras penguatkuasaan peraturan Program Pengesahan Pembekal Asing (FSVP) oleh Agensi Pentadbiran
Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), bermula Mei 2017.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata langkah itu sebahagian daripada Akta Keselamatan dan Pemodenan Makanan 2011 yang bertujuan memastikan pembekal asing mematuhi aspek keselamatan dan pengimportan makanan.
Ia mewajibkan pengimport tidak berkecuali mewujudkan prosedur bertulis bagi tujuan penilaian bahaya dan risiko membabitkan setiap pembekal asing serta makanan import berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros mengingatkan kalangan pengeksport makanan Malaysia ke AS serta yang berhasrat memasuki pasaran itu, agar melaksanakan langkah sewajarnya untuk mematuhi semua syarat keselamatan yang ditetapkan.
“Menerusi cara ini, ia tidak hanya memberi kelebihan kepada mereka tetapi turut mencerminkan kewibawaan pengeksport Malaysia untuk memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shahreen juga menyifatkan prospek bagi makanan diproses di pasaran AS kekal luas sejajar permintaan penggunanya yang mahukan makanan yang pelbagai, berkualiti serta mudah diperolehi. – Bernama