Pengeluar haruman hasil produk sanitiser

ZURICH, 2 APRIL – Syarikat pengeluar minyak wangi Switzerland, Givaudan berkata hari ini ia akan menghasilkan 60 tan pembersih tangan (sanitiser) dalam tempoh dua minggu lagi untuk memenuhi kekurangan kronik produk yang digunakan untuk mengatasi pandemik koronavirus.

Syarikat minyak wangi dan haruman itu berkata ia telah mewujudkan barisan pengeluaran di kilangnya di Geneva bagi sanitiser, yang akan didermakan kepada hospital-hospital tempatan, kakitangan pengangkutan dan mereka yang memerlukan.

Syarikat itu yang membekalkan jenama prestij dalam haruman termasuk Christian Dior dan Prada, berkata dalam satu kenyataan bahawa kilangnya di Geneva akan menghasilkan kira-kira 700,000 botol sanitiser menjelang pertengahan April.

Barisan pengeluaran selanjutnya akan diwujudkan di kilangnya di AS dan negara-negara Eropah lain bagi memenuhi permintaan meningkat, menurutnya.

Ketua Givaudan, Gilles Andrier berkata, ‘Dalam masa singkat, kami berupaya untuk menubuhkan barisan pengeluaran pembersih tangan untuk menghasilkan lapan tan sehari, membantu kakitangan kami dilindungi selain membolehkan kami untuk membekalkannya kepada pekerja barisan hadapan termasuk hospital tempatan.

Cawangannya di Perancis iaitu Pomacle dan Avignon telah menyediakan hampir 1.5 tan sanitiser bagi hospital tempatan dan lainnya, sementara di Ashford, Britain telah bekerjasama dengan syarikat minuman tempatan dalam menyediakan sanitiser ke hospital berdekatan. – AFP