Pengeluar kereta saman kerajaan AS

NEW YORK, 24 SEPT – Pengeluar kereta utama Tesla, Volvo, Ford dan Mercedes-Benz telah menyaman kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif yang dikenakan ke atas produk China, menuntut duti kastam yang dibayar ke atas import dikembalikan, bersama faedah.

Tindakan guaman itu, yang difailkan beberapa hari lalu di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di New York, membabitkan tarif yang dikenakan oleh Pejabat Perwakilan Perdagangan AS (USTR) ke atas import dari China, yang dianggap Tesla sebagai ‘sewenang-wenang, tidak menentu dan tidak berdasarkan budi bicara.’

Duti dikenakan di tengah perbalahan perniagaan di antara Washington dan Beijing, dan pengeluar kereta meminta tarif dibatalkan dan mana-mana wang yang dibayar untuk mengimport alat ganti dipulangkan.

Mercedes-Benz dalam tindakannya menuduh Washington ‘melancarkan perang perniagaan melebihi AS$500 bilion dalam import dari Republik Rakyat China.’

Pengeluar kereta Jerman itu berkata undang-undang AS ‘tidak memberikan kebenaran ke atas defendan untuk melancarkan perang perniagaan untuk tempoh masa yang lama, dan dengan apa-apa cara yang dipilih oleh mereka.’

Pegawai di pejabat Perwakilan Perdagangan AS Robert Lighthizer tidak memberikan respons apabila dihubungi oleh AFP untuk memberi komen mengenai tindakan guaman itu.

Pentadbiran Presiden AS Donald Trump terlibat dalam konflik perniagaan berbulan lamanya dengan China, dan mengenakan tarif sebagai sebahagian daripada usaha untuk memisahkan pengeluar AS daripada teknologi China.

China dan AS menandatangani perjanjian perdagangan ‘fasa pertama’ pada awal tahun ini yang menamatkan perbalahan itu. – AFP