Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Pengeluar kopi tertua di Pulau Pinang sedia kuasai pasaran Malaysia

    GEORGE TOWN – Pengeluar kopi tertua di Pulau Pinang, Sin Boon Kee Factory, yang telah menghidangkan kopi berkualiti dan beraroma kepada rakyat Pulau Pinang selama 79 tahun, bersedia untuk mengembangkan operasinya ke seluruh Malaysia dengan lebih banyak variasi produk.

    Jonathan Chan Heng Liang, 31, waris generasi keempat, berkata kilang itu diasaskan oleh moyangnya, Chan Kok Tong pada 1944 dengan tujuan hanya untuk menyediakan kopitiam tempatan di negeri ini tetapi beliau (Jonathan) mempunyai impian yang besar untuk syarikat.

    “Saya menyertai syarikat tujuh tahun lepas dan bermula dengan mempelajari setiap proses di kilang, yang mengambil masa dua tahun. Selepas saya memahaminya, saya mula memperkenalkan produk baharu dan ayah saya sangat menyokong dan menggalakkannya.

    “Saya mahu mengembangkan lagi syarikat ini, justeru, antara perubahan yang saya buat ialah membangunkan produk untuk pengguna akhir seperti minuman paket tiga dalam satu dan membuka kedai kopi kami sendiri iaitu SBK Coffee Concept Store pada 2020,” katanya kepada Bernama.

    Mengenai kapasiti pengeluaran, Jonathan berkata syarikat mampu menghasilkan sehingga 1,000kg serbuk kopi sehari dengan 10 tenaga kerja pada masa ini di kilang, menambah bahawa Sin Boon Kee Factory masih menggunakan modal insan untuk menghasilkan kopi yang paling beraroma dan berkualiti.

    Pengarah Sin Boon Kee (SBK) Store Sdn Bhd, Jonathan Chan (kiri) dan bapanya Chan They Lin menerangkan perkembangan kilang kopi SBK. – Bernama
    Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) mewujudkan kedai Coffee Concept Store yang menjual 26 jenis produk perisa minuman terbanyak dan menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR). – Bernama
    Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) iaitu kilang penghasil kopi tertua di Pulau Pinang dan masih mengekalkan cita rasa asli dan kelazatannya. – Bernama
    Pekerja sedang memproses kopi di Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) di Jelutong. – Bernama
    Antara produk yang dihasilkan Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) di Jelutong. – Bernama
    Pekerja sedang memproses kopi di Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) di Jelutong. – Bernama
    Pekerja sedang memproses kopi di Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) di Jelutong. – Bernama
    Pekerja sedang memproses kopi di Kilang kopi Sin Boon Kee (SBK) di Jelutong. – Bernama

    Beliau berkata semua produk ini kemudiannya akan dihantar kepada pelanggannya yang terdiri daripada 1,000 kopitiam/kedai kopi di seluruh Malaysia.

    “Kami kilang kecil tetapi kami telah membekalkan di peringkat tempatan selama lebih 79 tahun. Kami merancang untuk berpindah ke kilang baharu juga di Pulau Pinang pada tahun depan supaya kami dapat meningkatkan kapasiti kami untuk menampung operasi kami yang meningkat termasuk mewujudkan lebih banyak cawangan SBK Coffee Concept Store,” katanya.

    Beliau berkata terdapat beberapa kedai dalam perancangan, termasuk dua di Pulau Pinang serta tiga hingga lima kios di Kuala Lumpur.

    Jonathan berkata keputusan untuk mempunyai kedai kopinya sendiri dibuat selepas produk terbaharunya, Royal Black Coffee, yang terdiri daripada empat jenis biji kopi, telah ditolak oleh pengusaha kopitiam berikutan harganya yang lebih mahal.

    “Rasanya sedikit berbeza daripada ‘kopi o’ tradisional walaupun ia kelihatan sama dan harganya agak mahal, justeru pengusaha kopitiam tidak dapat menjualnya. Kami mempunyai kira-kira 800 pelanggan kopitiam di Pulau Pinang dan lebih 700 menolaknya.

    “Biasanya, kopi yang kami bekalkan kepada kopitiam berharga sekitar RM15 sekilogram, tetapi Royal Black Coffee berharga sekitar RM40 sekilogram. Ini yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk membuka kedai kami sendiri untuk menjual kopi, yang berharga RM5.90 secawan,” katanya.

    Ini ternyata keputusan yang baik, katanya, berikutan SBK Coffee Concept Store di Jalan Jelutong pada masa ini berjaya menarik lebih 5,000 ahli kad kesetiaan setakat ini.

    Sementara itu, bapanya, Chan They Lin, 57, yang merupakan waris generasi ketiga, berkata beliau amat gembira apabila Jonathan memutuskan untuk mengambil alih perniagaan keluarga selepas menamatkan pengajian dari Help University di Kuala Lumpur dan sekali gus meneruskan legasi keluarga.

    “Saya mendapat pengetahuan mengenai perniagaan daripada bapa saya dan kami cenderung untuk menjalankan perniagaan dengan cara yang lebih konservatif.

    “Anak saya, sebaliknya, bersedia untuk mengambil risiko dan mencuba kaedah baharu.

    Lazimnya, kami hanya beroperasi menggunakan dana dalaman tetapi selepas anak saya mengambil alih, kami mula mendapatkan modal kerja daripada bank untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...