Pengeluaran 737 Max digantung bulan depan

WASHINGTON, 17 DIS – Syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Boeing, kelmarin berkata ia akan menggantung pengeluaran pesawat jenis 737 Max pada Januari, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Keputusan ini didorong oleh beberapa faktor termasuk pelanjutan pensijilan sehingga 2020, ketidakpastian mengenai masa dan syarat-syarat bagi kelulusan meneruskan semula perkhidmatan serta latihan global, dan kepentingan untuk memastikan bahawa kita boleh mengutamakan penghantaran pesawat yang tersimpan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami akan terus menilai kemajuan kami ke arah meneruskan perkhidmatan dan membuat keputusan mengenai pengeluaran semula serta penghantaran pesawat dengan sewajarnya.”

Syarikat itu berkata petugas yang terjejas akan meneruskan kerja berkaitan pesawat jenis 737 atau ditugaskan ke pasukan lain buat sementara waktu di wilayah Puget Sound, Washington.

Model 737 Boeing itu, yang merupakan pesawat terlarisnya, telah didaratkan di seluruh dunia selepas dua nahas udara yang mengorbankan beratus-ratus orang serta menyebabkan syarikat itu kerugian berbilion-bilion dolar.

Pada 10 Mac, Penerbangan ET-302 Ethiopian Airlines terhempas sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di Addis Ababa, yang membunuh kesemua 157 orang yang berada di dalamnya.

Model pesawat sama turut terbabit dalam nahas pada Oktober 2018 berhampiran Jakarta, Indonesia. Semua 189 orang yang menaiki Penerbangan JT610 Lion Air terbunuh.

Banyak negara mendaratkan model pesawat itu termasuk Amerika Syarikat, Turki, Rusia dan Iran. – Bernama