NEW DELHI, 10 Mei – Pengeluaran biji minyak India mencecah 32.52 juta tan bagi tahun kewangan 2016-2017 iaitu peningkatan sebanyak 28.8 peratus berbanding tahun lepas, kata Kementerian Pertanian negara itu.
Output kacang soya pula sebanyak 14 juta tan, kacang tanah 7.65 juta tan manakala biji jarak mencatat 1.55 juta tan.
Bagi tempoh 12 bulan yang berakhir pada Mac, pengeluaran makanan bijian negara itu mencatat angka rekod iaitu kira-kira 273.38 juta tan bagi tempoh 2016-2017 iaitu meningkat 3.15 peratus berbanding 265 juta bagi tempoh 2013-2014.
Pengeluaran beras pula adalah kira-kira 109.15 juta tan diikuti gandum 97.44 juta tan.
Menurut kementerian itu, pengeluaran tinggi itu disumbang oleh taburan hujan yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif serta dasar berkaitan. – Bernama