KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Pengeluaran getah asli Malaysia turun 4.5 peratus kepada 28,533 tan pada Julai 2023 daripada 29,867 tan yang dicatatkan pada Jun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan penurunan 24.6 peratus daripada 37,843 tan pada Julai 2023. Beliau berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2023 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 82.5 peratus manakala sektor estet sebanyak 17.5 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada Julai 2023 berkurangan 9.9 peratus kepada 143,840 tan daripada 159,718 tan pada Jun 2023. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.9 peratus diikuti kilang pengguna getah sebanyak 11.9 peratus dan estet getah sebanyak 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan bagi Perangkaan Getah Bulanan, Malaysia Julai 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,785 tan pada Julai 2023 meningkat 6.0 peratus daripada 48,848 tan pada Jun 2023, disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. – Bernama
