Pengeluaran keluli dunia meningkat 0.6 peratus

ANKARA, 25 SEPT – Pengeluaran keluli global meningkat sedikit iaitu sebanyak 0.6 peratus pada Ogos, menurut Persatuan Keluli Dunia.

“Pengeluaran keluli untuk 64 negara pada Ogos 2020 ialah sebanyak 156.2 juta tan,” lapor agensi Anadolu (AA).

Turki, pengeluar keluli ketujuh terbesar dunia menyaksikan kenaikan 22.9 peratus dalam pengeluarannya kepada 3.2 juta tan dalam tempoh yang sama.

Sementara China menghasilkan 94.8 juta tan menokok 8.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

AA melaporkan pengeluaran keluli di India dan Jepun masing-masing menurun 4.4 peratus dan 20.6 peratus kepada 8.5 juta tan dan 6.4 juta tan.

Di Amerika Syarikat pula, pengeluaran adalah sebanyak 5.6 juta tan merosot 24.4 peratus berbanding Ogos 2019. Di Kesatuan Eropah (EU), Jerman menghasilkan 2.8 juta tan keluli menurun 13.4 peratus.

Persatuan itu merupakan kumpulan industri terkemuka dengan ahlinya mewakili sekitar 85 peratus pengeluar keluli dunia. – Bernama