Pengeluaran kulat trufel berpotensi di Afrika Selatan

CERES, AFRIKA SELATAN – Hanya pokok renek yang tumbuh secara semula jadi di tanah asid berpasir yang dipilih oleh petani, Volker Miros sebagai lokasi untuk menguji potensi bagi pengeluaran trufel di Afrika Selatan.

Peminat kulat itu memutuskan tidak ada sebab mengapa kulat yang sangat berharga tidak dapat tumbuh di dataran tinggi pergunungan Cederberg di bahagian barat Afrika Selatan, yang mempunyau iklim serupa dengan Eropah Mediterranean.

“Kami melihat di mana trufel tumbuh di seluruh dunia dan kebanyakkanya di hemisfera utara, sekitar 32 hingga 35 darjah utara,” kata Miros yang memakai topi beanie hitam pada hari di musim sejuk.

“Perkara yang sama perlu dilihat pada 35 darjah selatan” di mana ladang milik keluarganya terletak sekitar 1,100 meter di atas permukaan laut, katanya.

Miros, 81, yang memilih cendawan bersama datuknya ketika masih kecil di Jerman, merupakan seorang pelopor industri penanaman trufel di Afrika Selatan. Pada tahun 2009, dia mengimport spora daripada variasi Perigord Perancis, disebut sebagai ‘berlian hitam’ dalam dunia kulinari dan menggunakannya untuk menyuntik akar anak benih oak yang kemudian ditanam di daerah tersebut.

Gambar menunjukkan trufel Black Winter Perigord dalam hidangan udang dan nasi. – AFP

Selepas enam tahun membuat percubaan, banyak batu kapur calcitic digunakan untuk mengatasi keasidan tanah, trufel pertama akhirnya digali.

Kini keluarga ini merupakan penanam dan pembekal Perigord nombor satu di Afrika Selatan, dengan kebun trufel seluas hampir 100 hektar yang ditanam tidak hanya di wilayah Cederberg tetapi juga di kawasan negara lain dengan iklim yang serupa.

Kebun yang paling produktif menghasilkan hampir 10 kilogram trufel per hektar setiap musim, yang ketika cuaca dingin selama berbulan-bulan di Afrika Selatan dari Jun hingga Ogos.

“Kami adalah petani hebat di atas gunung,” jelas anak Miros, Paul sambil tergelak kecil, menyepetkan mata di bawah sinar matahari musim dingin ketika dia melihat deretan pohon oak dan pokok renek yang dikelilingi oleh puncak bersalji.

Seekor anjing duduk dengan patuh di sisinya, baru-baru ini telah menemui kulat sebesar bola tenis. Trufel Miros berkualiti tinggi dijual dengan harga 20,000 rand (sekitar AS$1,370) sekilo tahun ini, hampir setara dengan harga pasaran Eropah.

Sebilangan besar pembeli adalah restoran mewah tempatan yang baharu sahaja mula memasukkan makanan istimewa ke dalam hidangan mereka.

“Orang-orang di Afrika Selatan tidak begitu mengenali trufel,” kata Paul Miros, 56, menyamakan rasanya dengan ‘bau lantai hutan yang basah’.

“Salah satu cabaran terbesar kami adalah orang membeli trufel dalam keadaan segar, kerana mereka hanya bertahan sekitar tiga minggu,” katanya.

“Ia memerlukan tukang masak yang betul-betul mahir dan memahami cara memasaknya,” tambahnya.

Sebilangan kecil restoran yang semakin meningkat telah menjadikan kulat ke dalam menu mereka, menarik pelanggan dengan pasta trufel segar dan hidangan kentang mentega.

Paul Miros yang suka bereksperimen dengan trufel di dapur, menjanjikan gabungan yang lebih luar biasa.

“Saya suka membuat ais krim vanila dengan sedikit trufel di dalamnya,” katanya. “Tekstur berkrim itu benar-benar membawa rasa trufel dengan sangat baik.” – AFP