KUALA LUMPUR, 5 Feb – Pengeluaran tunai melalui mesin teler automatik (ATM) di seluruh dunia naik sebanyak 10 peratus pada 2015, kadar terpantas sejak 2011, menurut firma penyelidikan dan perundingan strategik, RBR.
Dalam satu kenyataan hari ini, RBR berkata 99 bilion pengeluaran tunai dibuat di seluruh dunia pada 2015.
“Pengeluaran meningkat di semua rantau dengan kenaikan paling ketara dilihat di Asia Pasifik serta Timur Tengah dan Afrika (MEA), dengan jumlahnya bertambah, masing-masing sebanyak 16 peratus dan lapan peratus,” katanya.
Menurut RBR, pertumbuhan dalam penggunaan di China melonjak sebanyak 23 peratus hasil daripada peningkatan usaha bersepadu bank-bank untuk menukar lebih banyak transaksi kepada perkhidmatan sendiri.
“China menyumbang 24 bilion pengeluaran, hampir suku daripada jumlah dunia,” katanya.
Ia berkata terdapat persamaan trend di pasaran membangun lain di Asia Pasifik dan negara-negara MEA seperti Mesir, India, Indonesia, Malaysia, Pakistan dan Arab Saudi. RBR berkata penggunaan ATM terus meningkat walaupun di pasaran matang.
“Sebagai contoh, di AS, kenaikan dalam surcaj menyumbang kepada penurunan dalam jumlah pengeluaran sejak bertahun tetapi para stransaksi sebenarnya meningkat.
“Malah di Sepanyol, pertumbuhan dalam jumlah pengeluaran meningkat kepada lapan peratus setelah ekonomi negara itu pulih,” katanya.
Sementara itu, Rowan Berridge, yang mengetuai penyelidikan RBR itu berkata meskipun pertumbuhan pantas dalam pembayaran tanpa tunai, permintaan bagi ATM kekal kukuh.
“Kami menjangka jumlah pengeluaran tunai akan terus meningkat di kebanyakan negara pada masa depan,” kata Berridge. RBR diiktraf sebagai penyedia penyelidikan strategik dan perkhidmatan perundingan utama kepada organisasi dalam bidang perbankan dan automasi runcit, kad dan pembayaran dengan pengalaman selama tiga dekad. – Bernama