Pengeluaran pembuatan Malaysia stabil

KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Pengeluaran pembuatan Malaysia stabil pada Ogos, mengekalkan pemulihan daripada kegawatan akibat penularan pandemik COVID-19, kata IHS Markit.

Firma itu berkata walaupun tempahan baharu masih lemah, kadar kemajuan yang sederhana masih perlahan berbanding paras paling rendah pada April.

“Oleh itu, permintaan pelanggan yang lemah dan usaha untuk mengurangkan kos menyebabkan pengurangan pekerjaan paling ketara sejak kaji selidik bermula pada Julai 2020,” kata firma itu dalam satu kenyataan hari ini.

Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit – petunjuk prestasi pembuatan satu angka komposit – turun kepada 49.3 pada Ogos daripada 50.0 pada Julai.

IHS Markit berkata pengeluaran pembuatan stabil pada Ogos, hilang sedikit momentum yang dilihat semasa lantunan semula awal sebelum ini dan bacaan terkini adalah susulan pengembangan pada Jun dan pertumbuhan se-terusnya pada Julai.

“Keseluruhannya, syarikat-syarikat menunjukkan peningkatan dalam harga input, walaupun yang paling rendah dalam turutan inflasi tiga bulan ketika ini. Harga pengeluaran mencatatkan peningkatan perlahan dengan responden menyatakan permintaan lemah dan persaingan sengit menyebabkan mereka menawarkan diskaun,” kata syarikat itu. – Bernama