Pengembalian perkhidmatan di pusat kesihatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Berikutan dengan situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah memaklumkan mengenai pengembalian semula beberapa perkhidmatan di pusat-pusat kesihatan yang akan bermula esok (3 Ogos).

Antara perkhidmatan-perkhidmatan yang dimaksudkan ialah Bahagian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi – Klinik Penyakit Kronik dan Klinik General; Perkhidmatan Pengambilan Darah; perkhidmatan farmasi; Perkhidmatan Klinik Mata Komuniti; Perkhidmatan Permakanan Komuniti; Perkhidmatan Psikologi Klinikal; dan perkhidmatan pergigian.

Bagi perkhidmatan pergigian, perkhidmatan terhad kepada prosedur tertentu sahaja, seperti kes-kes yang memerlukan rawatan segera atau kecemasan trauma pada mulut dan gigi, sakit gigi, bengkak di mulut atau bahagian muka dan rahang, dan pendarahan di mulut yang tidak dapat diberhentikan.

Kesemua perkhidmatan-perkhidmatan akan beroperasi semula di Pusat Kesihatan Berakas, Pusat Kesihatan Pengkalan Batu dan Pusat Kesihatan Seria.

Sementara itu, perkhidmatan yang sedia ada di Pusat Kesihatan PAPHMWHB, Gadong, adalah berjalan seperti biasa. Manakala Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi di Daerah Tutong adalah dikekalkan seperti biasa.

Perkhidmatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak bagi Pusat Kesihatan Berakas dan Pusat Kesihatan Pengkalan Batu pula adalah dikekalkan buat sementara waktu di lokasi seperti berikut. Bagi Pusat Kesihatan Berakas, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dikekalkan di Tingkat 5, Blok 2G, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, dan waktu beroperasi ialah pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari kelepasan awam), bermula jam 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang.

Manakala di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak dikekalkan di Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong, dan waktu beroperasi ialah pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari kelepasan awam), bermula jam 7:45 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 1:30 hingga 4:30 petang. Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Talian Darussalam 123 pada bila-bila masa.