MANILA, 18 JAN – Pihak berkuasa kastam Filipina hari ini menyatakan bahawa lebih 700 kes barangan seludup, termasuk hasil ladang, telah direkodkan pada 2022, memberi amaran kepada pengembara untuk tidak membawa sayuran dan buah-buahan secara haram.
Biro Kastam negara itu melaporkan 709 rampasan barangan seludup dengan anggaran nilai 24.28 bilion peso (kira-kira AS$443.9 juta) tahun lalu, dan 137 daripadanya adalah pelbagai produk pertanian bernilai 1.87 bilion peso (kira-kira AS$34.19 juta).
“Pengembara tidak boleh membawa masuk sayur-sayuran (tanpa mengira kuantiti) ke Filipina tanpa Kuarantin Tumbuhan (bagi kegunaan peribadi) atau dan Kebenaran Import Sanitari dan Fitosanitari (bagi kegunaan komersial) yang diperlukan daripada Biro Industri Tanaman (BPI),” menurut biro tersebut.
Ia menambah bahawa semua pengimportan produk pertanian, kecuali yang terpilih di bawah Super Green Lane Facility, dikenal pasti sebagai komoditi berisiko tinggi.
Sebilangan rakyat Filipina dan kru syarikat penerbangan yang pulang dari luar negara telah didapati menyeludup bawang ke Filipina disebabkan kenaikan harga dan kekurangan produk ladang di dalam negara. – Xinhua