SYDNEY, 8 NOV – Seorang pengembara backpacker dari Perancis ditemukan maut selepas disyaki dipatuk seekor ular berbisa dalam kejadian di tenggara Australia, menurut laporan media tempatan hari ini.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di tempat penginapannya pada 24 Oktober lepas di bandar Nullawil, kira-kira 300 kilometer barat laut Melbourne, agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan saluran 9News Australia.
Terdapat luka gigitan ular pada kakinya, kata Wade Humphreys, yang bekerja bersama-sama dengan mangsa di bawah visa cuti bekerja. Gigitan itu kemungkinan datang dari ular eastern brown yang sangat berbisa.
Ular itu amat berbahaya selain patukan reptilia berkenaan selalunya tidak menyakitkan.
“Agak jelas beliau tidak sedar bahawa dirinya telah dipatuk,” kata Humphreys kepada 9News dan menyifatkan kematian itu sebagai ‘tragedi’.
Lelaki yang dalam keadaan kritikal itu dibawa ke sebuah hospital di Melbourne sebelum disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung.
Sementara itu, polis negeri Victoria berkata, tiada unsur jenayah dalam kematian pengembara backpacker berkenaan. – Bernama