Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Pengumuman pengemaskinian caj bayaran melalui Sistem Keluar dan Masuk (ESS) yang akan berkuat kuasa pada 12 Disember ini bukan sahaja melegakan orang awam malah disambut baik oleh pengendali bas.
Salah seorang pengendali bas tempatan yang ditemui Media Permata baru-baru ini, Hajah Siti Rugayah binti Haji Dagang menzahirkan perasaan syukur dan teruja mendengarkan makluman berkenaan.
“Alhamdulillah dengan pengumuman pengemaskinian caj bayaran tersebut kebanyakan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan bas kami berasa cukup gembira kerana dapat mengurangkan kos perjalanan mereka keluar dan masuk negara.
“Dengan hanya membayar caj bagi setiap kenderaan, ia jelas dapat mengurangkan kos yang perlu kami bayar berbanding sebelumnya,” katanya.
Pada masa yang sama beliau juga menasihatkan orang ramai agar sama-sama mensyukuri segala kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dengan sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang di negara ini.
Meskipun teruja untuk melakukan perjalanan ke luar negara, tekannya, keselamatan diri dan kenderaan perlulah menjadi keutamaan setiap individu demi memastikan kelancaran perjalanan pergi dan balik ke tanah air.
Di samping itu beliau turut menasihatkan agar orang ramai mematuhi had kelajuan semasa membuat perjalanan serta mengelakkan untuk membawa barangan tegahan ke luar mahupun masuk ke dalam negara ini.
Seorang lagi warga tempatan yang kerap membawa rombongan ke Kuching, Sarawak, Haji Ibrahim bin Haji Ratu turut melahirkan perkara sama, dengan berkata pengurangan caj berkenaan akan dapat memberikan sedikit kemudahan dan meringankan beban perbelanjaan keluar dan masuk sempadan negara.
“Mengikut pengalaman kami menyewa bas dengan isi 40 orang, kami terpaksa membayar EES dengan jumlah $240 untuk keluar dan masuk.
“Sementara itu, semasa kami ke Bandaraya Kuching harga sewa bas sahaja sudah memakan belanja $600 sehari. Maka dengan adanya perubahan kadar EES, orang ramai merasa amat bersyukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas perkenan Baginda ini,” tambahnya.
Beliau juga turut mengakui sejak sekatan pergerakan akibat COVID-19 dikendurkan, semakin bertambahlah juga penduduk di negara ini yang ingin membuat perjalanan rentas sempadan bukan sahaja dengan menggunakan kenderaan peribadi namun juga menggunakan bas.
Seorang pengguna perkhidmatan bas ke Miri, Sarawak, Hajah Hanafiah binti Gani yang kerap ke Miri menggunakan bas bersama keluarganya turut menyahut baik pengumuman itu.
“Kami selalu menggunakan bas untuk ke Miri sejak sebelum COVID-19 lagi kerana senang bagi kami, tidak payah mencari parkir dan tidak penat memandu.
“Selain itu, kami suka menggunakan bas kerana kami tidak perlu berasa khuatir dengan keadaan kereta kami semasa berada di luar negara seperti takut rosak, pancit dan mengalami kemalangan.
“Kadar baharu yang dikemaskinikan menggambarkan kemurahan hati dan keprihatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bukan saja untuk rakyat Brunei tetapi bagi semua pengguna jalan darat lainnya.
“Kami merancang untuk ke Miri pada hujung bulan ini lagi menggunakan bas bersama keluarga saya dan keluarga adik-beradik saya untuk mengeratkan lagi tali kekeluargaan sambil meluangkan masa bersama keluarga semasa cuti persekolahan,” kongsinya.