LABUAN – SS Speed Boat Enterprise, sebuah syarikat pengendali perkhidmatan bot dan ejen pelancongan, muncul sebagai perintis dalam penyediaan aktiviti pelancongan berkaitan laut di pusat kewangan antarabangsa Malaysia Labuan.
Setelah melabur untuk menyediakan empat bot laju bagi memberi perkhidmatan dalam sektor pelancongan laut, syarikat itu kini boleh menarik nafas lega apabila lebih 1,000 orang menjadi pelanggan tetapnya dan pelancong.
Pengarahnya, Mohamad Rosli Ramani, 25, berkata penglibatan beliau dalam industry pelancongan bermula apabila melihat produk pelancongan seperti itu mempunyai potensi untuk berkembang maju di Labuan. “Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang tempatan, tetapi juga dari luar pulau ini, yang pernah berkunjung ke sekurang-kurangnya empat pulau menarik untuk melakukan pelbagai sukan air, termasuk selaman rekreasi dan aktiviti bersnorkel.
“Kami ada Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar untuk aktiviti selaman rekreasi, snorkel dan melihat penyu menetas serta dilepaskan ke laut, kami juga ada Pulau Papan untuk melakukan pelbagai aktiviti sukan air,” katanya ketika melakukan “Jelajah Tiga Pulau” bersama Bernama pada Sabtu.
Kepulauan Rusukan
Menurutnya Kepulauan Rusukan sangat popular kerana wujudnya pelbagai hidupan laut, di samping terumbu karangnya yang belum terusik.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian kepada sektor pelancongan di pulau ini berikutan kemelesetan ekonomi yang berlaku dan sekarang, kami memainkan peranan kami sebagai penyedia aktiviti pelancongan kepada pelancong dan pelawat,” kata Rosli.
Rakan kongsi beliau, Mohd Nur Faiz Anuar, 25, pula berkata industri hospitaliti dan pelancongan merupakan antara industri yang paling menerima kesan daripada kemajuan dalam bidang digital.
“Syarikat pengangkutan dan penginapan adalah antara yang paling awal menggunakan kaedah pemasaran secara digital dalam perniagaan mereka bagi mendampingi pelancong dan masyarakat serta untuk memastikan dengan sedaya upaya pelanggan dapat menikmati pengalaman menarik ketika berjauhan dari rumah masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, untuk mencatat prestasi cemerlang dan mempunyai kelebihan daya saing, penggiat dalam industri pelancongan sentiasa mencari cara terbaru serta paling menarik untuk memikat hati pelanggan dan memenuhi impian mereka.
Kegunaan media sosial
Katanya, apabila merancang perjalanan, pelancong lazimnya mencari syarikat yang menggunakan media sosial melalui rangkaian media sosial terkenal dan mereka lebih terpaut hati dengan jenama hebat dan prestij, di samping kemudahan membuat tempahan secara dalam talian.
Rosli dan Faiz sependapat bahawa ‘staycations’ merupakan trend yang sangat berpengaruh sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, dengan kebanyakan pengembara lebih suka menikmati percutian di peringkat tempatan.
Ini berita baik bagi penyedia perkhidmatan dan aktiviti tempatan kerana semakin banyak orang ingin merancakkan pertumbuhan ekonomi di tempat masing-masing dengan melakukan perjalanan di kawasan yang tidak jauh dari tempat tinggal masing-masing,” kata mereka. Mereka juga yakin industri pelancongan di pulau ini boleh dimajukan lagi melalui usaha dan peranan penting pengiat industri berkenaan. – Bernama