Pengendali laman judi ditahan

SEOUL, 18 JULAI – Polis telah menahan 37 rakyat Korea Selatan yang disyaki mengendali laman web perjudian haram, dengan pertaruhan beratus-ratus bilion won, di Malaysia selepas mereka diekstradisi dari negara Asia Tenggara itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Agensi Polis Kebangsaan pada hari ini.

Kesemua suspek dari dua sindiket perjudian haram, satu dengan sembilan anggota dan yang lain dengan 28 anggota, telah diekstradisi dari 9 Julai sehingga Rabu.

Ia merupakan jumlah terbesar rakyat Korea Selatan pernah ditahan di luar negara bagi kesalahan mengendali laman sesawang perjudian haram.

Sindiket sembilan anggota itu, yang diketuai seorang lelaki berusia 41 tahun dengan nama keluarga Lee, disyaki mengendali sarang perjudian secara online di Kuala Lumpur sejak Mac 2015 dan mengaut keuntungan haram sebanyak 19.2 bilion won.

Satu lagi sindiket, yang diketuai seorang lelaki berusia 38 tahun dengan nama keluarga Roh, didakwa mengendali laman web perjudian haram serupa di ibu negara Malaysia itu sejak April 2017. – Bernama