Pengendalian pesakit COVID-19 dikemas kini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Kementerian Kesihatan telah meneliti semula garis panduan pengurusan pesakit-pesakit yang telah disahkan positif COVID-19.

Pengemaskinian berkenaan adalah berpandukan kepada dapatan-dapatan saintifik terkini, garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan amalan pengendalian pesakit di beberapa buah negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato berkata, “Bermula 6 September 2021, pesakit-psakit COVID-19 yang telah disahkan sembuh selepas 14 hari daripada tarikh disahkan positif boleh dibenarkan pulang ke rumah dan tidak perlu lagi menjalani pengasingan diri di rumah.” Walau bagaimanapun, tambah beliau, pesakit-pesakit yang disahkan sembuh dan dibenarkan pulang sebelum tempoh 14 hari tamat akan dikehendaki untuk menghabiskan tempoh kuarantin di rumah.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham berucap pada sidang media jangkitan COVID-19 kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani