KUALA LUMPUR, 25 Mei – MAB Kargo Sdn Bhd (MABkargo) berkata pengendalian penerbangan sewa khas memberi kelebihan khusus dan merupakan penjana pendapatan utama bagi syarikat pengendali kargo itu.
Syarikat penerbangan itu hari ini melakar satu lagi kejayaan apabila mendarat dengan selamat di Bintulu, Sarawak, dengan muatan kargo pukal hampir 72 tan.
MABkargo berkata penerbangan sewa khas itu untuk syarikat minyak dan gas global terkemuka, yang menggunakan rakan kongsi syarikat penerbangan Silkway West, dari Leipzig, Jerman, mendarat di Bintulu selepas transit di Baku, Azerbaijan.
Satu kenyataan MABkargo berkata satu pasukan telah menjalankan proses perancangan terperinci untuk menyediakan kargo besar tersebut, memuat dan diterbangkan oleh pesawat B747-400F.
Bagi menyokong operasi jet di Bintulu, syarikat penerbangan kargo itu berkata peralatan sokongan darat dibawa khas dari Lapangan terbang Kuching dan Miri.
Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya Amiroel Shazrie Yussof dalam kenyataan itu berkata penerbangan sewa khas untuk industri minyak dan gas itu sangat mencabar dan rumit.
Dalam kes ini, kami perlu menyediakan lapangan terbang kecil untuk menerima pesawat besar. Dengan sokongan pasukan pengawal darat dan pihak berkuasa lapangan terbang tempatan, kami berjaya melaksanakannya,” katanya.
Amiroel juga berkata penerbangan sewa khas sesuai untuk industri minyak dan gas kerana kami membenarkan pelanggan membuat jadual sendiri menggunakan lapangan terbang yang paling mudah.
Sejak bertahun-tahun, MABkargo memperoleh pengalaman besar hasil daripada penyelarasan, dan berjaya menyerahkan peralatan minyak dan gas ke beberapa destinasi di seluruh dunia. – Bernama