Pengerusi Samsung meninggal dunia

SEOUL, 25 OKT – Pengerusi Samsung Electronics, Lee Kun-hee yang berjaya mentransformasikan firma Korea Selatan itu menjadi syarikat gergasi teknologi global, meninggal dunia pada usia 78 tahun, hari ini, umum syarikat berkenaan.

Di bawah kepimpinannya, Samsung muncul sebagai pengeluar terbesar telefon pintar dan cip memori di dunia, di mana pendapatan keseluruhan syarikat itu kini bersamaan dengan satu perlima Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Selatan.

Beliau yang mengamalkan gaya hidup sederhana, terlantar akibat serangan jantung pada 2014 tetapi tidak banyak maklumat diketahui mengenai perkembangan keadaannya sehinggalah beliau meninggal dunia.

“Dengan dukacitanya, kami mengumumkan pemergian Pengerusi Samsung Electronics, Lee Kun-hee.

“Pengerusi Lee meninggal dunia pada 25 Oktober di sisi ahli keluarga, termasuk Naib Pengerusi, Jay Y Lee.

“Pengerusi Lee adalah seorang yang memiliki wawasan sehingga berjaya mentransformasikan Samsung daripada perniagaan tempatan kepada peneraju industri dan inovasi di dunia.

“Legasinya akan terus berkekalan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Setakat ini Samsung merupakan keluarga konglomerat terbesar, atau dikenali chaebols, yang menguasai perniagaan di Korea Selatan. – AFP

Gambar fail menunjukkan Lee Kun-hee ketika menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa di Durban pada 2018. – AP