Pengesanan kontak penting

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Pengesanan kontak memainkan peranan penting dalam usaha untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini daripada terus berleluasa dan jika ia diibaratkan dalam peperangan, pengesanan kontak adalah berfungsi seperti ‘Intelligence’.

“Pengesanan kontak sangat penting untuk mengawal sebarang ancaman kesihatan awam,” demikian telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Tugas utama mereka adalah menemu duga orang tertentu dan kadang-kadang akan mengambil masa untuk mendapatkan maklumat,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga berkata mereka berperanan penting dalam memastikan kesemua maklumat kontak dan pesakit dapat dikumpulkan serta memastikan tidak akan ada terlepas pandang mengenai kontak yang ditemui pesakit sebelum ini.

Bagaimanapun, jelasnya, jika semasa pemeriksaan kontak tersebut, individu terlibat tidak memberi kerjasama ataupun membuat kenyataan yang mengelirukan, palsu atau menipu, mereka boleh didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

“Jika seseorang dengan sengaja (terutama mereka yang positif COVID-19) batuk di depan pekerja untuk mengancam mereka, orang tersebut akan didakwa di mahkamah kerana mengancam kakitangan kami,” tekan Yang Berhormat Dato.

Dalam sesi soal jawab tersebut juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa dalam senario di Negara Brunei Darussalam, gelombang kedua jangkitan COVID-19 adalah daripada kes import.

“Jika sekiranya kes import tidak diasingkan, maka kita akan mengalami gelombang kedua yang besar. Ini dapat dilihat daripada negara-negara jiran, di mana kes utama gelombang kedua adalah kes-kes import.

“Itulah perkara penting yang perlu kita pertahankan, iaitu kawalan sempadan. Selain itu, pengasingan di tempat yang ditentukan dan ‘swabbing’, kedua-duanya adalah perkara yang wajib,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.