Penggal kepala bapa, suspek direman

IPOH, 10 Okt – Seorang lelaki direman tujuh hari mulai hari ini selepas dipercayai membunuh bapa sendiri dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian di Kampung Kanthan Baru, di sini semalam.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 52 tahun tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Ja’afar di sini yang membenarkan permohonan polis untuk membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abdul Rahman berkata suspek dipercayai berbuat demikian selepas berang ditegur oleh bapanya yang berusia 74 tahun kerana menghisap dadah di dalam rumah mereka.

Katanya kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka manakala bahagian badan pula dibuang di lubang pembetungan sedalam lima kaki. – Bernama