Penggambaran 96 jam BFB bermula

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Lebih 30 orang menyertai Brunei Film Blitz (BFB) sempena Pesta Disember Brunei yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini se-hingga 22 Disember.

Sehubungan dengan itu, Pengarah BFB, Dayang Siti Kamaluddin telah mengumumkan beberapa bahan rahsia yang perlu dimasukkan oleh para peserta ke dalam penghasilan karya mereka nanti.

Beliau mengumumkan perkara tersebut pada majlis yang berlangsung di Institut Kesenian Asia Mahakarya, Plaza Athirah yang dihadiri oleh pihak penganjur acara serta peserta pertandingan berkenaan sebelum merasmikan acara penggambaran filem pendek selama 96 jam berkenaan.

Berbeza dengan penganjuran BFB pada tahun sebelumnya, kali ini para peserta dikehendaki untuk membuat penggambaran dan menyunting filem pendek mereka dengan masa kurang dari enam minit dan mestilah memasukkan konsep penggambaran yang menggunakan sama ada masa 10 tahun kebelakangan atau 10 tahun ke hadapan dalam cerita yang dihasilkan oleh peserta.

Walaupun begitu, para peserta bebas memilih untuk menjadi lebih kreatif dan menerokai genre yang telah sedia ada seperti komedi, fantasi, mockumentary, video muzik mahupun animasi.

Film Blitz 96 jam tersebut merupakan perhimpunan unik dalam kalangan para pembuat filem tempatan di negara ini yang secara rutinnya akan menghasilkan karya berkualiti tinggi dalam pengisian ceritanya untuk ditayangkan.

Kali ini, barisan jurinya terdiri daripada Dayang Siti Kamaluddin sendiri; Dekan Institut Kesenian Asia Mahakarya, Dr. Alex Fischer; Pengarah Fakulti Industri Kreatif di TAFE Queensland, Richard Barrett dan Komposer Filem Indonesia yang ternama, Aghi Narrottama.

Filem yang dihasilkan hendaklah dihantar sebelum jam 10 pagi 22 Disember depan di institut berkenaan dan pengumuman pemenang bagi pertandingan tersebut akan dibuat pada 28 Disember semasa majlis Brunei Film Blitz Awards Night. Tiga kategori dipertandingkan bagi BFB kali ini iaitu Terbuka, Filem Pendek Islamik dan 96 Hour Film Blitz.

Pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan bagi para pemenang pada kali ini antaranya tiket penerbangan pergi dan balik untuk dua orang ke Seoul, Osaka dan Gold Coast.

Dayang Siti Kamaluddin bergambar ramai bersama para peserta yang menjayakan Brunei Film Blitz kali ini.