Penggambaran filem trilogi Jurassic World, iaitu Jurassic World: Dominion, terpaksa ditangguhkan selama dua minggu selepas beberapa kru disahkan positif COVID-19.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengarah filem berkenaan, Colin Trevorrow menerusi hantaran di akaun Twitter miliknya.
“Bangun pagi dengan berita beberapa orang disahkan positif ujian koronavirus di set penggambaran Jurassic World: Dominion. Bagaimanapun ujian selanjutnya selepas itu mendapati semua negatif.
“Demi mengikuti protokol keselamatan, penggambaran akan ditangguhkan dua minggu. Akan kembali semula,” tulisnya.
Penggambaran filem ketiga ini sudah pun bermula semenjak Februari lalu di Vancouver, Kanada dan kemudian bersambung di United Kingdom sebelum dihentikan akibat penularan COVID-19. – Agensi