Menggamit nostalgia bersama mesin jahit Singer

Barangan elektronik jenama Singer bukan lagi sesuatu yang asing, iklannya pada awal tahun 80an masih terngiang, beritma dengan lirik, “Singer menawan keluarga bahagia,” namun mesin jahit lama antiknya yang berwarna hitam, dengan lakaran keemasan di sisi serta berpedal adalah sesuatu yang legenda bagi Generasi X yang lahir dalam awal 60 hingga 80an.

Manakala generasi selepasnya, terutamanya anak-anak tukang jahit semestinya turut menyimpan kenangan indah terhadap mesin jahit itu yang mungkin pernah menjadi sumber pendapatan orang tua mereka suatu ketika dahulu.

Pasti terbayang nenek mahu pun ibu yang sibuk menjahit pakaian atau pun langsir setiap kali menjelang Hari Raya. Bunyi dari pedal kakinya bagaikan irama yang telah menjadi kebiasaan di rumah yang memiliki mesin jahit ini sehingga mungkin pernah mengenakan baju kurung, cara Melayu atau kebaya hasil sentuhan mereka. Cukup nostalgik, bukan?

Imbauan memori bersama mesin jahit Singer

Oleh yang demikian, bagi menghargai bait-bait memori bersama mesin jahit klasik, Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan salah satu pertandingan media sosial bertemakan kenangan terindah bersama mesin jahit Singer sebagai salah sebuah produk keluaran AS yang mana dibukakan kepada masyarakat di negara ini pada bulan April lalu.

Semasa sesi perkongsian yang diadakan baru-baru ini, pegawai perhubungan awam, Kedutaan Besar AS di Negara Brunei Darussalam menyatakan kegembiraan coretan memori penuh kemanisan dalam kalangan peserta yang sememangnya menjadikan mesin jahit Singer sebahagian warna-warni dalam kehidupan mereka bersama insan-insan tersayang.

Para pemenang menerusi pertandingan media sosial bertemakan kenangan terindah bersama mesin jahit Singer merakamkan detik bergambar ramai bersama pegawai perhubungan awam, Kedutaan Besar AS di Negara Brunei Darussalam semasa mengadakan sesi perkongsian bersama penulis dan rakan media yang lain, baru-baru ini.
Awang Abu Zar semasa menunjukkan salah satu jahitan baju kurung yang dihasilkannya menggunakan mesin jahit Singer.

Berkongsi mengenai latar belakang sejarah mesin jahit jenama itu, sememangnya mula diperkenalkan oleh salah seorang pelakon dan juga ahli perniagaan, Isaac Merit Singer sekitar tahun 1850an sehingga menjadikan sebagai salah satu produk yang mampu mencetus peranan terpenting dalam bidang keusahawanan dan juga wujudnya curahan daya kreativiti insan-insan yang bergelar ‘tukang jahit’ terutamanya kaum hawa untuk memperolehi sumber pendapatan harian dan juga dilihat sebagai salah satu potensi kerjaya sehingga mampu memperkasa kredibiliti seseorang wanita untuk berdiri teguh.

“Bukan hanya itu, memori yang biasanya didengar juga apabila orang-orang tua menjahit bantal untuk anak-anak sehingga menjadi ‘bantal buruk’. Di situlah letaknya nilai sentimental yang kuat bagi si pemiliknya dengan adanya aroma dari bantal tersebut.

“Tambahan lagi, mesin jahit ini juga mungkin menjadi sumber imaginasi bagi kanak-kanak dahulu kala ketika bermain ibarat satu bayangan memandu sebuah kenderaan dengan memutarkan roda mesin jahit mahu pun dijadikan rumah permainan (playhouse) sehingga mewujudkan suasana keriangan,” ujarnya dengan senyuman dan senda gurauan.

Antara mesin jahit dan kehidupan

Semasa penulis menemu bual pemenang pertandingan, celoteh mereka bersulam nilai-nilai nostalgik dan inspirasi bersama mesin jahit legenda itu sehingga menjadi pengusaha dalam seni jahitan sekali gus sebagai pencetus perekonomian diri dan keluarga tersayang. Dayangku Suariani binti Pengiran Mohd Yassin, salah seorang pemenang pertandingan itu, mengimbau kenangan bersama nenek dan ibu tersayang serta mesin jahit tersebut, sehingga menerbitkan inspirasi dalam dirinya.

“Pada zaman kanak-kanak, saya masih ingat ibu sering menggunakan mesin jahit itu untuk menjahit banyak baju jenis kebaya dimilikinya. Fesyen baju kebaya renda, begitu popular pada ketika itu,” tambahnya yang turut berkongsi beliau masih menyimpan mesin jahit Singer klasik itu sehingga kini di kediamannya.

Terserempak mesin jahit milik nenek tersayang

Begitu juga dengan Awang Abu Zar, minat terhadap seni jahitan ini bermula setelah beliau menamatkan pengajiannya di universiti. Minatnya tercetus apabila beliau terjumpa mesin jahit Singer milik neneknya yang beroperasi menggunakan tangan semasa kempen kebersihan di kediaman neneknya bersama ahli keluarga yang lain.

“Sering menyaksikan program realiti khususnya pertunjukan fesyen. Saya tertanya-tanya pada diri ini, kenapa saya tidak mencuba untuk belajar menjahit? Lebih-lebih lagi, saya amat menyukai dunia fesyen.

“Saya tekad untuk belajar menerokai seni jahitan ini. Percubaan demi percubaan dan berkali-kali tidak menjadi dan hanya membazirkan dan merosakkan fabrik yang dibeli. Sehingga akhirnya saya berhasrat untuk mengambil kursus lanjutan seni jahitan di Pendidikan Lanjutan dan Latihan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE CET), Kementerian Pendidikan.

“Dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh itu, kini saya mampu untuk memakai hasil rekaan dan jahitan peribadi,” tambahnya dengan nada penuh kesyukuran semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.