Wednesday, February 8, 2023
29.5 C
Brunei

-

Penggantung baju tema kedesaan

Oleh Amri HTZ

Keadaan rumah yang bersepah terutamanya dengan baju-baju setelah pulang bekerja setentunya akan mengganggu ketenangan dan masa berehat ketika di rumah.

Masyarakat biasanya akan meletakkan pakaian yang telah dipakai ke dalam bakul baju.

Namun bagi mereka yang terlalu letih setelah seharian bekerja biasanya hanya menyampirkan pada katil, sofa mahupun meja.

Bagi mengelakkan hal ini berlaku, perlunya ada tempat khusus seperti rak penggantung baju. Memandangkan strukturnya mudah, merekanya sendiri bukanlah suatu perkara yang mustahil.

Langkah-langkah pembuatan

Kayu-kayu yang akan digunakan dalam projek ini berukuran 4 inci x 4 inci x 6 kaki (sebatang) dan 2 inci x 4 inci x 6 kaki (sebatang).

Teknik mendapatkan ukuran dengan tepat dan cepat bagi mencantumkan kedua-dua batang kayu untuk bahagian kaki rekaan.
Separuh kayu bahagian kaki rekaan yang telah dibuangkan akan dibersihkan menggunakan pahat.
Langkah menebuk ruangan untuk menempatkan besi penggantung menggunakan spade bit.
Wood filler juga akan digunakan untuk mengisikan ruangan kosong pada bahagian lubang besi penggantung yang telah dimasukkan.

Setelah menyediakan kayu yang diperlukan, langkah pertama ialah meratakan permukaan kayu yang cembung atau kasar menggunakan mesin ketam kayu atau secara manual juga mudah untuk dilakukan.

Bagi awda yang menggunakan mesin, tetapkan ketinggian atau kedalaman (mengikut jenis mesin digunakan) permukaan yang hendak dibuang lebih kurang 1 milimeter.

Walaupun langkah mengetam permukaan tersebut terlalu nipis, ia adalah bagi memastikan tiada pembaziran dilakukan dalam proses rekaan.

Selain itu, menetapkan kedudukan bilah ketam yang terlalu dalam akan menyebabkan bebanan terhadap motor mesin sekali gus memendekkan hayatnya.

Sementara bagi penggunaan alat ketam manual, awda perlu memastikan bilah alat berada dalam keadaan yang sangat tajam.

Ini bagi memastikan ketika awda menyorongkan atau menarik alat (tertakluk jenis alat ketam digunakan) untuk meratakan permukaan tidak tersekat-sekat sekali gus membuatkan langkah tersebut sesuatu yang terlalu meletihkan dan berdepan kegagalan.

Kedudukan bilah juga jangan tidak ditetapkan terlalu terkeluar, cukuplah menonjol daripada permukaan bawah sekurang-kurangnya 0.25 milimeter.

Langkah seterusnya ialah memotongkannya menjadi bahagian-bahagian tertentu. Batang kayu 4 inci x 4 inci x 6 kaki tadi akan dipotongkan dengan panjang 70 inci sementara kayu 2 inci x 4 inci x 6 kaki akan dipotongkan menjadi panjang 32 inci untuk dua batang. Potongan kayu-kayu tersebut masing-masing akan menjadi rangka utama (bahagian berdiri) sementara yang satu lagi akan menjadi bahagian kaki rekaan.

Menumpukan perhatian pada kaki rekaan, kedua-dua batang kayu tersedia tersebut akan dicantumkan menjadi satu bagi mereka bahagian kaki berbentuk ‘+’.

Namun sebelum mencantumkannya, terlebih dahulu reka ruangan pada bahagian tengah kedua-dua kayu untuk menjadikan cantuman tampak bersih dan kukuh. Teknik lap joint akan digunakan pada langkah ini.

Teknik tersebut memerlukan awda untuk membuangkan separuh bahagian tengah kedua-dua kayu sesuai dengan lebarnya.

Mula-mula tandakan bahagian tengah kayu diikuti dengan menandakan lebar kayu yang bakal dicantumkan. Setelah itu potong separuh kedua-dua bahagian yang telah ditandakan menggunakan gergaji, separuh daripada tebal kayu.

Untuk membuangkan bahagian yang telah dipotong, tukul bahagian tengahnya yang akan menyebabkan kayu terbelah.

Bersihkan bahagian kayu yang tertinggal menggunakan pahat kayu. Dengan langkah ini, awda telah mempunyai ruangan untuk mencantumkan bahagian tengah kedua-dua batang kayu tersebut.

Sebelum mencantumkan secara kekal bahagian kaki rekaan tersebut, terlebih dahulu awda perlu menebuk bahagian tengah salah satu bahagian hujung rangka utama.

Tujuannya ditebuk bagi membolehkan kayu dimasukkan sebagai pasak untuk mengukuhkan cantuman. Selain rangka utama, bahagian tengah kaki rekaan juga akan ditebuk.

Perlu dipastikan lubang yang akan ditebuk ukurannya perlulah lebih kecil berbanding pasak (dowel) yang akan digunakan. Ini bagi memastikan pasak yang dimasukkan tidak longgar sekali gus melemahkan struktur cantuman.

Selain mendapatkan pasak berbentuk bulat khusus untuk rekaan, awda juga boleh menggunakan batang penyapu yang diperbuat daripada kayu memandangkan ia lebih murah daripada dowel terjual. Lubang dengan kedalaman 6 inci sudah cukup memadai untuk ruangan pasak.

Manakala bagi bahagian kaki rekaan, awda juga perlu menebuk bahagian tengahnya (bahagian kayu untuk ruangan cantuman) memandangkan pasak akan dimasukkan daripada bahagian bawah.

Selesai menebuknya, cantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu. Pasak yang akan dimasukkan juga perlu disapu dengan gam selain ruangan lubang.

Dengan cara mengetuk pasak menggunakan mallet agar tidak pecah, lebihan kayu pasak tersebut bolehlah dipotong menggunakan gergaji.

Selain penggunaan pasak, cantuman juga akan dikukuhkan menggunakan skru pada bahagian bawah kaki rekaan. Sebelum memasukan skru, tebuk ruangan untuk skru dengan mata gerudi berukuran 2 milimeter bagi memudahkan proses memasukkannya.

Sementara bagi bahagian atas rangka utama di mana paku besar akan dimasukkan, awda perlu menebuk ruangan tersebut dengan kedalaman 3 inci sesuai dengan ukuran paku digunakan.

Lubang yang ditebuk perlulah dalam kedudukan mencondong kira-kira 40 darjah dengan jarak setiap satu 12 inci dan 5 inci dari bahagian atas. Bagi awda yang sukar mendapatkan paku sedemikian, penggunaan besi rod berukuran 2 sentimeter juga boleh dilakukan.

Manakala bahagian hujungnya boleh dibentuk sama ada dengan cara membakar besi sehingga memerah dan menukulnya, atau mematerikan plat besi yang telah dipotong dengan bentuk yang diperlukan.

Bagi mengelakkan besi menjadi berkarat sekali gus mengotorkan pakaian yang digantung, awda perlu mengecat permukaannya.

Terlebih dahulu bersihkan permukaan besi menggunakan brass wire disc brush menggunakan mesin grinder kemudian membakar permukaannya bagi menghilangkan sebarang bahan berminyak. Setelah itu awda boleh menyemburkan cat di mana jenis cat asas bercampur dengan cat primer adalah terbaik memandangkan ia melekat kukuh pada permukaan besi.

Langkah terakhir ialah melindungi permukaan kayu menggunakan cat lakuer.

Sebelum menyemburkan cat jenis ini, bagi awda yang ingin memenuhi tema rekaan ala kedesaan, permukaan kayu terlebih dahulu akan diwarnakan dengan wood stain.

Setelah ia mengering, permukaan luarnya bolehlah disemburkan dengan cat lakuer bagi menimbulkan lagi ira-ira kayu yang tersembunyi.

Artikel sebelum iniBASA jadi BDSA
Artikel seterusnyaKartel kokain tumpas di Dubai, Eropah
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -