Penggantungan penerbangan tak wajar – Portugal

LISBON, PORTUGAL, 18 FEB – Keputusan Venezuela untuk menggantung penerbangan TAP Air Portugal ke Caracas adalah “tidak berasas dan tidak wajar,” kata Menteri Luar Portugal Augusto Santos Silva hari ini.

Pihak berkuasa Venezuela mengambil tindakan itu semalam selepas TAP pada minggu lalu membawa pemimpin pembangkang Juan Guaido dan bapa saudaranya pulang dari satu kunjungan antarabangsa bertujuan untuk menyingkir Presiden Nicolas Maduro.

Bapa saudara Guaido ditahan sebaik sahaja mendarat dan dituduh cuba membawa masuk sejumlah kecil bahan letupan ke dalam Venezuela. Portugal mengarahkan satu siasatan rasmi dilancarkan dalam dakwaan tersebut, dan Santos Silva berkata ia belum selesai.

Penggantungan tersebut merupakan satu ‘tindakan menentang’ ke atas Portugal, beritahu Santos Silva kepada agensi berita nasional Lusa, dalam komen yang disiarkan oleh ahkbar dalam talian Observador.

Portugal berada dalam gabungan negara-negara Eropah dan Latin Amerika, bergelar ‘Kumpulan Hubungan Antarabangsa,’ yang telah menyokong tentangan Guaido ke atas Maduro. Beribu-ribu imigran Portugal tinggal di Venezuela.

Santos Silva berkata penggantungan juga akan menjejas Venezuela disebabkan syarikat penerbangan Portugal ialah salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang masih menawarkan perkhidmatan kepada Caracas, dengan penerbangan dua kali seminggu. – AP

Pemimpin pembangkang Juan Guaido bercakap pada sidang media di Caracas, Venezuela pada 15 Februari 2020. – AP