Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Penggemar fesyen tukar sampah jadi payung, beg tangan 

    KUALA LUMPUR – Plastik pembungkus roti, mi segera dan makanan ringan yang lazimnya dibuang ke tong sampah, dijadikan barangan seperti beg tangan dan payung, hasil kreativiti seorang pemuda menerusi kaedah kitar tinggi atau upcycle.

    Kitar tinggi ialah proses mengubah suai bahan buangan kepada produk yang boleh digunakan semula. Ahmad Afiq Ahmad Kamal, 24, hanya menggunakan pita pelekat dan kemahiran menjahitnya bagi menghasilkan produk yang praktikal dan boleh digayakan.

    Menurut eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat korporat itu, dia tidak malu menggayakan produk berkenaan ketika keluar beriadah atau bersiar-siar meskipun ia dibuat daripada bahan buangan.

    “Fesyen itu subjektif dan saya punya cita rasa fesyen lebih kepada gaya jalanan, rebel dan tidak ortodoks. Saya melihat upcycling sebagai cara saya mengekspresikan gaya fesyen,” katanya kepada Bernama. Ahmad Afiq berkata minat mendalam terhadap fesyen unik dan tersendiri mendorongnya menghasilkan pelitup muka daripada fabrik seluar terpakai pada Disember 2020 dengan jahitan tangan.

    Kemudian dia kerap menghasilkan pelbagai jenis dan rekaan beg menerusi kitar tinggi daripada seluar lama atau sudah tidak dipakai, sebelum bereksperimen menggunakan plastik pembungkus dan fail plastik.

    Mengakui menyelamatkan bumi bukanlah misi utamanya ketika berjinak-jinak dengan hobi itu, pemuda lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari University of Delaware, Amerika Syarikat itu berharap usahanya dapat menyumbang ke arah budaya fesyen lestari, sekali gus mengurangkan lambakan sisa tekstil.

    “Hobi saya ini bukan sahaja menzahirkan kreativiti tetapi secara tidak langsung memberi kehidupan kedua dan menambah nilai sesuatu barangan daripada hanya berakhir ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

    Bagaimanapun setakat ini, dia tidak berhasrat menjual atau mengambil tempahan meskipun ada yang berminat dengan produk dihasilkan yang dikongsikannya menerusi platform TikTok menggunakan akaun @ovolokaw.

    Ahmad Afiq yang menarik lebih 12,000 pengikut di media sosial itu juga berharap kandungan dibuatnya memberi inspirasi dan kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan kitar tinggi. – Bernama 

    Ahmad Afiq mengespresikan gaya fesyen melalui kaedah upcycling. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...