Penggemar Taichi kongsi pengalaman secara maya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Pertukaran Taiji Beijing International Health-building 2021 telah diadakan secara dalam talian menerusi platform Zoom, kelmarin, di mana ia telah dihadiri oleh Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China, Dr Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman.

Turut menyertai pertukaran berkenaan ialah Presiden Persekutuan Wushu Brunei Darussalam, Lim Boon Hua; Timbalan Setiausaha Agung dan Ketua Jurulatih, Li Hui; Pengarah Teknikal, Zhao Chunjie; Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Brunei-China, Ng Hui Fong serta artis seni Wushu kebangsaan, Basma Lachkar, Hosea Wong, Zheng Yu, Lim Yee Sean, Li Ziyan, Zhu Zhenhua.

Pertukaran berkenaan juga menyaksikan penyertaan daripada jurulatih-jurulatih Taichi, ahli-ahli serta penggemar Taichi dari Australia, United Kingdom, Jerman, Hungary, Indonesia, Jepun, Nepal dan Sri Lanka.

Dalam ucapannya, Dr Muhammad Fridaus menyatakan penghargaan kepada Naib Pengerusi Beijing People’s Association for Friendship with Foreign Countries, Liu Yuhong serta rakan-rakan dan penggemar Taichi yang sama-sama menghadiri pertukaran secara maya berkenaan.

Beliau berkata bahawa pertukaran berkenaan merupakan satu pertemuan yang sukar dengan semua pihak terpaksa berkomunikasi melalui kamera secara dalam talian tetapi ia menunjukkan semangat mendalam semua pihak bagi Taichi serta yakin akan pentingnya pertukaran persahabatan.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa penularan COVID-19 bukannya satu penghalang bagi mereka tetapi ia akan menjadikan mereka lebih kuat di mana mereka akan terus berkomunikasi secara maya serta yakin suatu hari nanti, mereka akan berdiri dan berkumpul bersama untuk mengisytiharkan kemenangan ke atas virus berkenaan.

Majlis pertukaran itu juga menyaksikan penyertaan daripada guru Tai Chi Beijing terkenal iaitu Sun Wanrong dan Du Deping yang mempamerkan kemahiran mereka serta persembahan Tai Chi daripada kanak-kanak muda.

Pada majlis itu, semua peserta dalam talian dialu-alukan untuk mempersembahkan 24 gaya Tai Chi pada akhir pertukaran berkenaan sebagai melambangkan perpaduan dan kebersamaan.

Pertukaran Taiji Beijing International Health-building 2021 telah diadakan secara dalam talian yang disertai oleh jurulatih, ahli dan penggemar Tai Chi dari seluruh dunia termasuk Negara Brunei Darussalam.