Penggera amaran palsu cetus kekecohan

THE HAGUE, 7 NOV – Seorang juruterbang yang tidak sengaja membunyikan penggera amaran dalam pesawat di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam semalam mencetuskan operasi keselamatan besar-besaran oleh polis.

Syarikat penerbangan Sepanyol Air Europa meminta maaf atas kejadian yang berlaku dalam penerbangannya dari ibu negara Belanda ke Madrid, yang melihat kenderaan kecemasan mengerumuni kapal terbang tersebut.

“Penggera amaran palsu. Dalam penerbangan Amsterdam-Madrid pada petang ini tersilap diaktifkan, satu amaran yang mencetuskan protokol ke atas rampasan di lapangan terbang,” tulis syarikat penerbangan di Twitter.

“Tidak ada apa-apa yang telah berlaku, semua penumpang selamat untuk berlepas tidak lama lagi. Kami meminta maaf.”

Schiphol ialah salah satu lapangan terbang paling sibuk di Eropah, mengendali lebih daripada 70 juta penumpang setahun, menurut laman sesawangnya.

Gambar insiden menunjukkan kenderaan polis dan ambulans berkumpul mengelilingi pesawat udara sementara sebahagian lapangan terbang ditutup.

Jadual penerbangan masih terjejas lewat semalam. Kapal terbang itu membawa 27 penumpang, kata media Belanda.

Satu siasatan dilancarkan untuk menentukan bagaimana penggera diaktifkan secara tidak sengaja. – AFP