TOKYO, 20 Sept – Pertukaran mata wang kripto atau cryptocurrency di Jepun, Zaif berkata hari ini bahawa ia telah kehilangan 6.7 bilion yen (sekitar AS$60 juta) dalam mata wang digitalnya dalam satu serangan penggodam.
Serangan itu berlaku pada Jumaat minggu lepas dan syarikat itu mengesan ketidaknormalan dalam sistemnya Isnin lalu dan mendapati bahawa mata wang kriptonya telah dicuri.
Kira-kira 2.2 bilion yen (AS$19.6 juta) dari mata wang kripto yang dicuri milik bursa saham dan selebihnya adalah wang pelanggan, kata syarikat yang berpangkalan di Osaka itu.
Syarikat itu berkata ia merancang untuk membayar balik penggunanya dalam jumlah penuh. Agensi Perkhidmatan Kewangan Jepun, badan kerajaan yang mengawasi perbankan, keselamatan dan pertukaran, dan sektor insurans, telah melancarkan penyiasatan terhadap insiden itu dan ingin memastikan, sama ada syarikat itu telah mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sebelum serangan itu dilancarkan.
Pemerhati kewangan telah mengeluarkan dua amaran pentadbiran kepada syarikat berkenaan mengenai pengurusannya yang lemah awal tahun ini. Insiden itu berlaku susulan insiden sama di seluruh dunia yang memberi amaran kepada para pelabur yang meletakkan wang ke dalam institusi mata wang kripto. – Xinhua