Penggodam curi dokumen rahsia AS-UK

MOSCOW, 4 OGOS – Penggodam mendapat akses ke dokumen rahsia mengenai perbincangan perdagangan Amerika Syarikat-United Kingdom selepas berlaku pelanggaran keselamatan terhadap akaun e-mel peribadi bekas menteri perdagangan Britain, Liam Fox, lapor agensi berita Sputnik, memetik The Guardian.

“Apa yang memeranjatkan saya ialah menggunakan akaun e-mel peribadi untuk urusan perniagaan kerajaan yang sensitif.  Ini merupakan pelanggaran keselamatan negara yang sangat serius dan merupakan satu kesalahan jenayah,” kata anggota parlimen parti Buruh Chris Bryant.

Polis sedang menyiasat insiden itu yang berlaku tahun lalu. Belum jelas akaun e-mel mana yang digodam, kata The Guardian.

Dokumen 451 halaman itu dicuri dan dihantar menerusi platform Reddit dan turut diterima bekas pemimpin Buruh Jeremy Corbyn, yang menuduh “Rusia” dalang di sebalik insiden berkenaan.

Pada Julai, United Kingdom melancarkan beberapa tuntutan anti-Rusia menyaksikan Setiausaha Luar Dominic Raab memberitahu parlimen, Rusia “hampir pasti” campur tangan dalam pilihan raya 2019 Amerika Syarikat dengan membocorkan dokumen mengenai rundingan perdagangan itu.  – Bernama