Penggubahan wang, saham perbankan merosot

NEW YORK, 22 SEPT – Saham dalam bank utama termasuk HSBC, Bank Deutsche dan JPMorgan Chase menjunam semalam berikutan dakwaan mereka telah mengendali sejumlah besar wang haram selama hampir 20 tahun.

Satu siasatan oleh Buzzfeed News dan Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) mendakwa pemindahan yang diragui bernilai kira-kira AS$2 trilion berlaku di beberapa bank di antara 1999 dan 2017.

Lima bank – JPMorgan Chase, HSBC, Standard Chartered, Bank Deutsche dan Bank New York Mellon – dituduh memindah aset penjenayah, walaupun selepas didenda atas kegagalan sebelumnya untuk membendung aliran wang haram.

Di New York, saham JPMorgan merosot 3.1 peratus selepas sesi teruk untuk bank besar lain yang dinamakan dalam laporan.

Di Frankfurt, saham Bank Deutsche merosot 8.8 peratus sementara Standard Chartered, sebuah bank lain yang dinamakan dalam siasatan antarabangsa, merosot 5.8 peratus di London.

Sebelum ini di Hong Kong, saham HSBC merosot kepada tahap paling rendah mereka dalam 25 tahun, berakhir dengan kemerosotan 5.3 peratus.

Bank Belanda ING juga dinamakan dalam siasatan, dan sahamnya merosot 9.3 peratus di Amsterdam.

Media Belanda melaporkan subsidiari ING di Poland telah membantu pelanggan mendapatkan dana yang disyaki keluar dari Rusia selama beberapa tahun.

“Keuntungan daripada perang dadah, wang yang digelapkan dari negara membangun dan simpanan yang dicuri dalam skim Ponzi semuanya dibenarkan mengalir masuk dan keluar dari institusi kewangan berkenaan, meskipun amaran dari pekerja bank sendiri,” menurut siasatan. – AFP

Kelihatan seorang pejalan kaki berjalan di depan logo pejabat Bank Deutsche di tengah London. Saham Bank Deutsche merosot lebih 8 peratus berikutan dakwaan penggubahan wang yang dikendali oleh beberapa bank antarabangsa. – AFP