Saturday, September 23, 2023
23.7 C
Brunei

    -

    Pengguna disaran berhati-hati, Brunei alami cuaca aktif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangkakan aktif bermula hari ini hingga 22 September dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan di negara ini dengan kelajuan angin kencang boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.

    Di samping itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit antara 0.4 meter dan 0.8 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini, masih berada di penghujung monsun barat daya di mana angin barat daya semakin lemah.

    Namun begitu, angin barat daya yang lemah bertembung dengan angin dari arah timur laut yang kuat pada minggu ini, menyebabkan keadaan atmosfera yang lembap dan mengakibatkan cuaca yang aktif untuk beberapa hari akan datang.

    Stesen Pencerapan Kaji Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 329.6mm sejak 1 September di mana jumlah itu telah mencapai jumlah turunan hujan sedikit di atas normal yang mana jumlah normal bagi September 1991-2020 iaitu 235.1 mm.

    Negara Brunei Darussalam masih berada di penghujung monsun barat daya dan keadaan cuaca dijangkakan aktif hingga 22 September. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebar dan keadaan berangin.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan berkenaan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram, @bruneiweather, serta saluran Telegram, BruneiWeather.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...