Pengguna jalan perlu bertolak ansur

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan prasarana dan kemudahan jalan raya bagi kegunaan orang ramai.

“Dari itu, sebagai pengguna jalan raya, kita hendaklah sentiasa mengikut dan mematuhi akta dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” tekan khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Menurutnya lagi, pengguna jalan raya harus mempunyai sifat sabar, bertolak ansur, bertimbang rasa, hormat-menghormati, tolong-menolong dan sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi semasa waktu kesesakan jalan raya seperti pada musim-musim perayaan, ketika berlaku kemalangan dan menghantar serta mengambil anak-anak dari sekolah.

Para pemandu kenderaan bermotor seperti kereta, bas atau kenderaan berat hendaklah sentiasa berhati-hati dan peka dengan keberadaan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal, pelari dan pejalan kaki ketika melalui kawasan awam seperti tempat riadah, rekreasi dan sebagainya bagi menjamin keselamatan, saran khatib.

Mereka juga diingatkan agar sentiasa memastikan keselamatan seperti memakai tali pinggang keselamatan, elakkan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, sama ada membuat dan menjawab panggilan atau pesanan ringkas, patuhilah lampu isyarat lalu lintas, had laju yang dibenarkan, pandu secara berhemah, sentiasa memeriksa kenderaan sebelum menggunakannya dan sebagainya.

Selain itu, penunggang motosikal, basikal, pelari dan pejalan kaki juga hendaklah mematuhi peraturan jalan raya dan seeloknya hendaklah memakai jaket keselamatan yang mempunyai pemantul cahaya bagi menghindari perkara yang tidak diingini lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Khatib mengingatkan lagi, bahawa kecuaian dan kelalaian ketika berada di jalan raya bukan hanya akan mengakibatkan kerosakan dan kerugian harta benda, bahkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

“Perangkaan dari bulan Januari hingga September 2017 telah merekodkan sebanyak 2,325 kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian seramai 21 orang,” tambahnya.

Bagi mengelak perkara tersebut daripada berlaku, pelbagai usaha telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, antaranya ialah penguatkuasaan aturan-aturan lalu lintas jalan raya (komposisi kesalahan) 2016 yang bertujuan untuk mengukuhkan dan pengemaskinian undang-undang dan peraturan.

Oleh itu, khatib menyarankan agar orang ramai untuk sentiasa mematuhi akta dan peraturan lalu lintas jalan raya yang disediakan untuk kebaikan bersama.

“Ketahuilah bahawa peraturan yang dibuat adalah untuk kemaslahatan, bayangkan jika hidup kita tanpa ada peraturan, nescaya akan berlaku kesusahan dan kesukaran,” tekannya lagi.

Khatib juga ada menyatakan bahawa dalam memastikan keselamatan orang ramai terutama keselamatan nyawa para pengguna jalan raya dan mengelakkan daripada berlakunya kerosakan harta benda kerajaan dan harta benda orang awam, agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan terus berusaha melaksanakan segala peraturan.

Antaranya dengan mengadakan bengkel sistem bermotosikal, menguatkuasakan sistem keselamatan amalan pemandu (SiKAP) perlaksanaan penuh pendaftaran dan perlesenan treler perahu, garis panduan tuntutan kenderaan (MCG) dan sebagainya.

Dalam menyedarkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mengelakkan daripada berlakunya kemalangan di samping usaha, akta dan peraturan yang telah ditetapkan, khatib menjelaskan bahawa apa yang lebih penting ialah di mana pun kita berada, sentiasalah memanjatkan doa dengan memohon perlindungan serta berserah diri dan bertawakal kepada Allah S.W.T.

“Ingatlah sesungguhnya semua perkara itu adalah daripada Allah S.W.T. dan kepadaNya jualah kita akan kembali,” tekan khatib.

“Oleh itu, antara amalan-amalan atau doa yang dianjurkan oleh agama Islam sebelum keluar rumah, antaranya ialah membaca Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah Al-Quraish, doa-doa keluar rumah,” tambahnya lagi. Akhirnya, khatib menasihatkan agar kita sama-sama bertanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Amalkanlah sifat bersopan santun, hormat-menghormati, bertolak ansur dan ingatlah jalan raya adalah milik bersama, janganlah bersifat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dan nyawa pengguna yang lain.

“Sama-samalah kita berdoa semoga kita dihindarkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini dan sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat Allah S.W.T.,” jelas khatib mengakhiri Khutbah Jumaat.