Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Penggunaan air berlebihan jejas tanah lembap Sepanyol

    TAMAN NEGARA DONANA, SEPANYOL – Taman Negara Donana merupakan salah sebuah kawasan tanah lembap terbesar di Eropah yang terletak di selatan Sepanyol, namun pada masa ini kawasan tersebut terjejas oleh aktiviti pertanian yang intensif.

    Seorang guru bersara, Juan Romero semasa memeriksa kawasan tersebut, dia mendapati tempat tersebut terlihat semakin mengering.

    Romero, anggota Save Donana, kumpulan yang selama bertahun-tahun memperjuangkan taman negara tersebut berkata bahawa dalam musim ini sepatutnya tanah lembap itu dipenuhi dengan air dan dikerumuni oleh burung flamingo.

    Menurut saintis, bekalan air untuk taman tersebut telah surut secara drastik disebabkan oleh perubahan iklim yang melanda dan pemakaian air yang berlebihan oleh beberapa ladang strawberi, yang selalu mereka dapatkan melalui saluran perigi air secara haram.

    Selain itu, situasi tersebut mungkin menjadi lebih teruk apabila kerajaan wilayah Andalusia, tempat terletaknya Donana, telah mengusulkan rancangan bagi melanjutkan hak pengairan untuk petani strawberi yang berdekatan dengan taman tersebut.

    Gambar menunjukkan strawberi yang dibungkus di Ayamonte, Huelva, pada 20 Mei 2022. – AFP
    Beberapa orang pekerja memetik buah strawberi di rumah hijau di Ayamonte, Huelva. – AFP
    Gambar menunjukkan keadaan Taman Negara Donana di El Rocio, Huelva, pada 20 Mei 2022. Taman tersebut adalah salah satu daripada tanah lembap terbesar Eropah di Sepanyol yang ketika ini terjejas oleh pertanian yang intensif. – AFP

    Perkara itu menyebabkan perbalahan antara pakar alam sekitar dengan ahli politik dan para petani, kemudian rancangan untuk melanjutkan pengairan tersebut telah mendapat tindak balas daripada Kesatuan Eropah (EU), Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa rangkaian kedai runcit Eropah.

    Juanjo Carmona dari cawangan tempatan World Wildlife Fund for Nature (WWF) mengongsikan bahawa rancangan tersebut akan menggunakan hampir 1,900 hektar kawasan pertanian beri yang pada masa ini telah menggunakan pengairan dari perigi air secara haram. “Ia akan menjadi sesuatu yang menjejaskan Donana,” tambah beliau.

    Taman negara yang memiliki kepelbagaian ekosistemnya itu seperti tanah paya, hutan, bukit pasir yang mempunyai keluasan melebihi 100,000 hektar, adalah laluan yang selalu digunakan oleh berjuta-juta burung untuk penghijrahannya setiap tahun serta ia adalah tempat kediaman bagi beberapa spesies unik seperti Iberian lynx.

    Romero mengatakan bahawa Donana adalah sebuah tempat yang boleh dikira sebagai syurga kepada burung-burung yang berhijrah, tetapi ekosistem tersebut sedang mengalami ancaman dari pelbagai faktor.

    Sementara itu, tenaga penggerak di sebalik rancangan untuk memperluaskan pengairan berkenaan adalah daripada Parti Popular konservatif (PP), yang telah mentadbir wilayah selatan Andalusia dengan beberapa sokongan daripada parti penyokong mereka iaitu, Vox.

    Namun, nasib rancangan tersebut akan ditentukan selepas beberapa tinjauan dilakukan di Andalusia pada 19 Jun nanti tetapi dengan kedua-dua parti tersebut mendahului dalam pilihan raya, nampaknya cadangan kontroversi berkenaan akan diteruskan.

    Emas merah

    Sehubungan itu, beberapa pembela kepada rancangan berkenaan menegaskan bahawa ia akan membantu mereka yang tertinggal semasa penyelarasan ladang di kawasan tersebut, yang mana sebelum ini dilaksanakan pada tahun 2014 di bawah pentadbiran Sosialis.

    Sekitar 9,000 hektar ladang telah ditetapkan tetapi 2,000 hektar lagi yang mula digunakan untuk bertani selepas tahun 2004 adalah dianggap menyalahi undang-undang.

    “Rancangan tersebut dibuat dengan teruk. Ia sepatutnya telah dilaksanakan pada 2014 sebagai tarikh akhir untuk melakukan sesuatu,” kata penggubal undang-undang di bawah Vox dalam parlimen wilayah Andalusia, Rafael Segovia.

    Amnesti yang diusulkan itu tidak menunjukkan sebarang ancaman kepada Donana, menurut Segovia, sambil menambah bahawa penglibatan orang ramai harus dipertimbangkan dalam nilai ekonomi pada sektor tersebut.

    Sementara itu, Huelva, daerah tempat letaknya taman tersebut adalah kawasan yang mudah terjejas dengan kemarau, menghasilkan 300,000 tan strawberi setiap tahun, iaitu 90 peratus daripada pengeluaran Sepanyol.

    Strawberi dikenali sebagai ‘emas merah’ oleh masyarakat tempatan. Pertanian strawberi mengambil lebih kurang 100,000 orang untuk bekerja dengan mereka dan mengambil kira bahawa hampir lapan peratus daripada ekonomi pengeluaran Andalusia.

    Taman tersebut telah dijadikan sebagai salah sebuah daripada tapak warisan dunia oleh agensi kebudayaan PBB, UNESCO dan telah mengarahkan ladang-ladang yang menyalahi undang-undang berdekatan dengan Donana untuk dihapuskan.

    Agensi tersebut telah memberi amaran bahawa strategi kerajaan wilayah akan memberikan kesan yang sukar untuk dipulihkan semula. Selain itu, Suruhanjaya Eropah juga telah mengambil kira kepada permasalahan tersebut.

    Selepas penghakiman mahkamah Eropah pada tahun lalu menghukum Sepanyol kerana gagal melindungi ekosistemnya, ia telah memberi amaran untuk mengenakan denda yang besar jika sebarang tindakan diambil untuk menggunakan air secara berlebihan dari taman Donana.

    Selain itu, sekitar 20 rangkaian pasar raya Eropah, termasuk Lidl, Aldi dan Sainsbury, menghantar permohonan kepada kerajaan serantau yang menggesa untuk meninggalkan rancangan tersebut.

    Menjejaskan kami

    Para pengguna mungkin memiliki tanggapan buruk terhadap hasil strawberi di Huelva yang dihasilkan dari ladang haram, menurut jurucakap yang mewakili lebih 300 ladang tempatan, Manuel Delgado.

    Manakala, situasi tersebut berkemungkinan memberi kepada masalah reputasi yang teruk, tambahnya.

    Persatuan petani Puerta de Donana membantah rancangan tersebut yang mana ia hanya akan memberi kepentingan kepada golongan minoriti.

    “Sumber air sangat terhad,” kata Delgado, seorang petani yang bimbang jika diarahkan untuk mengurangkan penghasilan mereka disebabkan oleh kekurangan bekalan air. “Perkara tersebut akan menjejaskan kami,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...