Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan ICT meningkat

    Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Sebagai pemangkin utama kepada pergerakan maklumat dan perkhidmatan, penggunaan ICT dalam kalangan penduduk negara ini terus meningkat dari setahun ke setahun.

    Dari segi ketercapaian (accessibility), separuh daripada jumlah isu rumah di negara ini, sebanyak 51.4 peratus (lebih 40,000 buah rumah) boleh memperolehi perkhidmatan jalur lebar tetap menggunakan talian optik gentian.

    Selain itu, kadar penggunaan telefon bimbit mengikut jumlah langganan pula sudah melebihi jumlah penduduk di negara ini iaitu pada kadar 126 peratus dan daripada jumlah berkenaan, penggunaan jalur lebar mudah alih melalui telefon bimbit atau peranti-peranti pintar adalah sebanyak 121 peratus.

    Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat mengongsikan perkara ini semasa menyentuh mengenai perhubungan melalui ICT dalam mukadimahnya pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Beliau seterusnya berkata, masih terdapat ruang untuk diperbaiki bagi meningkatkan ketercapaian kepada perkhidmatan ICT, yang mana menurutnya, pada masa ini, sebanyak 88 buah kampung sama ada tidak ada liputan perkhidmatan atau mempunyai liputan perkhidmatan yang rendah iaitu tujuh buah kampung di Daerah Brunei dan Muara, 21 di Daerah Tutong, 20 di Daerah Belait dan 40 buah kampung lagi di Daerah Temburong.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa.

    Perkara ini, jelas Yang Berhormat Dato, akan terus dipantau oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darusalam (AITI) untuk diberi perhatian dan diambil tindakan bersama para penyedia perkhidmatan selaras dengan perancangan pelaburan masing-masing.

    Beliau turut memberitahu bahawa pihak AITI juga berusaha untuk mengambil kaedah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO) untuk memastikan pelaburan infrastruktur sentiasa diberi perhatian, khususnya untuk mengatasi isu-isu jurang digital yang melibatkan kawasan-kawasan luar bandar.

    Menyentuh dari segi kemampuan pula, Yang Berhormat Dato berkata, caj perkhidmatan jalur lebar juga dipantau oleh AITI. Menurut beliau, pihak Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah membuat inisiatif sendiri untuk mengurangkan kadar dan menaikkan kelajuan perkhidmatan jalur lebar.

    Jika sebelum ini, perkhidmatan pada kelajuan 1Mbps (Megabait sesaat) berharga $65 sebulan, sekarang dengan 10Mbps, pelanggan hanya perlu membayar serendah $25 sebulan.

    Dengan kadar harga $25 ini, tambah beliau, ia adalah kira-kira 3 peratus daripada purata pendapatan bulanan atau per kapita sebanyak $895, menurut Laporan Kajian Perbelanjaan Keluarga 2010/2011.

    Kadar itu juga selaras dengan sasaran yang ditetapkan oleh International Telecommunications Union (ITU) bagi kadar harga perkhidmatan jalur lebar di bawah 5 peratus daripada pendapatan purata bulanan per kapita.

    Dalam mukadimahnya itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan mengenai perkembangan dan perubahan teknologi ICT yang sangat mencabar.

    Menurutnya, teknologi seperti FTTH (Fiber To The Home), teknologi wayarles baru 5G, cloud computing dan aplikasi-aplikasi baru akan berupaya mengumpulkan data-data yang banyak dan besar sama ada berbentuk suara, data, grafik dan video melalui berbagai-bagai peralatan.

    Data besar berkenaan mampu memberi maklumat-maklumat penting mengenai sesuatu proses dan mempunyai nilai perdagangan atau commercial value (nilai-tambah komersial) yang tinggi.

    “Ini yang akan melahirkan apa yang dipanggil sebagai Internet of Thing (IoT),” tambah beliau.

    Di samping aspek-aspek positif yang dijana oleh perkembangan ini, beliau menekankan bahawa juga terdapat cabaran di mana unsur-unsur negatif masih berleluasa terutama dengan adanya teknologi tersebut. Ini menimbulkan masalah bagi pihak-pihak tertentu untuk mengekang kegiatan tersebut dan menjalankan tugas penguatkuasaan.

    Satu cabaran lain, tambah beliau, adalah mengenai keselamatan siber yang mana apabila banyak peralatan yang berhubung ia juga terdedah kepada penggodaman oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Untuk mengatasi perkara ini, pihak-pihak pengguna ICT terutama institusi-institusi yang penting seperti institusi kerajaan dan kewangan digalakkan untuk mengambil inisiatif mengadakan sistem keselamatannya sendiri seperti mengadakan fire-wall bagi rangkaian masing-masing.

    Dalam hal ini, Yang Berhormat Dato berkata, pihak AITI juga mengambil pendekatan untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai mengenai kesan-kesan negatif daripada penyalahgunaan teknologi ICT, termasuk juga media sosial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda