Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penggunaan peranti mudah alih rangsang pembelajaran kreatif, inovatif

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Peranti mudah alih merupakan kanta kepada pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat untuk para pelajar pada masa ini.

    Oleh itu, penggunaan peranti mudah alih secara inovatif dan pengajaran yang menggunakan peranti itu untuk merangsang pengalaman pembelajaran para pelajar secara kreatif dan inovatif akan menjadikan pengajaran serta pembelajaran itu lebih efektif.

    Ini dinyatakan oleh Profesor Madya Mark Pegrum dari Graduate School of Education, University of Western Australia dalam ucaptama bertajuk, Making the Most of Mobile: Developing Literacies While on the Move, pada Simposium Antarabangsa Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif ke-3 yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa, hari ini.

    Perasmian simposium disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

    Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad, timbalan setiausaha tetap Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan serta para peserta simposium.

    Antara yang hadir pada Simposium Antarabangsa Pembelajaran dan Pengajaran Inovatif ke-3 yang berlangsung di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa.
    Profesor Madya Mark Pegrum ketika menyampaikan ucaptama.

    Terdahulu, Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai dalam kata ucapannya berkata, peranti mudah alih bersama dengan hubungan tanpa wayar yang pantas menjadi alat yang penting untuk membantu para pendidik meningkatkan lagi pengajaran dan pengalaman pembelajaran pelajar mereka.

    Katanya, dengan generasi baru pelajar dalam era digital yang sebilangan besarnya adalah pengguna peranti mudah alih pintar, penggunaan kegiatan kaya teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu para pelajar untuk mencapai tahap kerjasama sesama rakan sebaya yang lebih tinggi.

    Dalam hubungan itu, beliau berkata bahawa adalah amat penting bagi pendidik pada masa ini untuk terus mengenal pasti kaedah yang terbaik menggunakan platform mudah alih untuk menyampaikan pelajaran mereka serta

    untuk menggunakannya bagi meningkatkan lagi pembelajaran para pelajar mereka dengan menggabungkannya bersama kaedah pengajaran bilik darjah yang tradisional.

    Mengulas mengenai simposium itu, Denis Ho Mun Tai berkata simposium yang membawa tema, ‘Pembelajaran Mudah Alih dan Inovasi dalam Teknologi’, diharap akan memberikan peluang kepada para peserta simposium untuk menimba ilmu yang baru serta mengkaji semula keberkesanan pendekatan pengajaran dan pembelajaran mereka serta menggunakan platform-platform mudah alih bagi memperbaikinya lagi.

    Lebih 230 orang peserta dari Politeknik Brunei, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menghadiri simposium tersebut.

    Simposium tersebut mengetengahkan pembentangan dua ucaptama utama daripada penceramah antarabangsa iaitu Profesor Madya Mark Pegrum dan Pengarah Pendidikan, Microsoft Asia Pacific, Don Carlson.

    Simposium turut menyaksikan pelbagai sesi perbincangan panel, disampaikan oleh penceramah jemputan dan institusi tempatan dan antarabangsa yang menumpukan kepada strategi-strategi inovatif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran menerusi teknologi.

    Simposium dua hari itu bermatlamat menjadi platform untuk belajar mengenai amalan-amalan terbaik daripada pembentang tempatan dan antarabangsa, mempromosikan penggunaan teknologi muda alih untuk membentuk cara penghantaran pelajaran serta untuk menggalakkan penggunaan pendekatan pedagogi dalam kaedah-kaedah yang inovatif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda