Oleh Normazlina M.D dan Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sentiasa menasihatkan dan mengingatkan peladang-peladang bahawa penggunaan racun-racun pada semua jenis tanaman mestilah mengikut tatacara dan jadual yang ditetapkan.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata, pengimportan Racun Kelas 1 tidak dibenarkan untuk kegunaan peladang dan orang awam kecuali bagi kegunaan syarikat kawalan serangga (pest control) yang menjalankan pengasapan (fumigation) atau pembasmian serangga dan penyakit.
Sementara Racun-racun Kelas 2 memang masih boleh diimport disebabkan sebahagian daripada racun rumpai, serangga dan penyakit masih dikilang oleh syarikat pengilang pada Kelas 2, kata beliau semasa menjawab persoalan Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johan @ Hahari mengenai penguatkuasaan racun Kelas 1 dan 2 yang digunakan di ladang-ladang sayur yang membahayakan.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan pemeriksaan rutin dilakukan ke atas sayur-sayuran yang akan dipasarkan melalui sampel secara rawak dari ladang-ladang di semua daerah setiap dua kali sebulan.
Sampel sayur-sayuran ini dihantar ke Bahagian Keselamatan Agrimakanan, di kementerian tersebut bagi penganalisaan sisa kandungan racun kimia pertanian untuk memastikan yang sayur-sayuran tersebut selamat untuk pengguna dan tidak melebihi tahap maksima sisa racun kimia pertanian (MRL) yang ditetapkan bagi pelbagai jenis racun.
Keputusan ujian makmal telah menunjukkan bahawa tidak ada sampel-sampel sayur-sayuran yang dicemari oleh Racun Kelas 1 dan 2.