Penggunaan Stadium PBSNT diluluskan

KUALA TERENGGANU, 26 FEB – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah diberi ‘lampu hijau’ oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai gelanggang baharu pasukan Terengganu FC (TFC) musim ini.

Timbalan Presiden Hishamudin Abd Karim berkata kelulusan itu diberi selepas badan induk tersebut, berpuas hati dengan kemudahan serta keadaan stadium yang melepasi syarat kelayakan minimum ditetapkan. Justeru beliau berkata kerja-kerja persiapan akhir sedang giat dijalankan di padang SSMZA sebelum berlangsungnya perlawanan pertama Liga Super antara TFC dengan Perak, Sabtu ini.

“Susulan pemeriksaan pegawai MFL pada 18 Februari, kita telah terima surat kebenaran semalam untuk menggunakan SSMZA sebagai ‘venue’ baharu TFC.

“Setakat ini padang dalam keadaan baik, tetapi kita akan lakukan ‘treatment’ akhir untuk pastikan kualiti rumput dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Dalam pada itu Hishamuddin berkata PBSNT juga akan mengeluarkan 30,000 keping tiket bagi perlawanan pertama antara TFC dengan Perak, yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh dramatik dan sengit. Menurutnya tiket berharga RM15 itu, akan dijual di dua lokasi iaitu di kaunter tiket SSMZA dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini bermula pukul 10 pagi pada hari perlawanan.

“Kita akan wujudkan ruang keluarga di SSMZA kepada penonton.” – Bernama