Wednesday, June 7, 2023
27.9 C
Brunei

    -

    Penggunaan teknologi ‘BIM’ dalam industri pembinaan semakin meluas

    Oleh Erda Khursyiah Basir

     

    KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi ‘Building Information Modelling’ (BIM) dalam industri pembinaan negara semakin meningkat sejak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memperkenalkannya pada 2014.

    Banyak pihak mula “membuka mata” apabila menyedari kepentingan serta manfaat teknologi ini untuk jangka masa panjang berbanding kaedah konvensional yang sebelum ini sinonim dengan lakaran pelan pada kertas, papan dan seterusnya kaedah ‘autocad’.

    Penggunaan teknologi komputer berteraskan tiga dimensi (3D) ini banyak membantu penggiat industri dalam menghasilkan yang terbaik dalam sesebuah binaan.

    Nama-nama besar seperti Sunway Property, Gamuda Berhad, Sime Darby Property serta Brunsfield adalah antara yang tidak terkecuali mengaplikasikan penggunaan teknologi BIM dalam projek kelolaan mereka.

    Penubuhan myBIM centre

    Dalam usaha menggalak dan mempromosikan penggunaan teknologi BIM, CIDB juga mengambil langkah dengan mewujudkan myBIM Centre.

    Sehingga kini myBIM Centre melatih seramai 1,500 orang profesional dalam bidang teknologi BIM sejak penubuhannya pada 2014. – Bernama

    Pusat ini ditubuhkan dengan anggapan negara memerlukan satu pusat rujukan bagi menjadikan teknologi BIM sebagai polisi kepada penggiat industri dan untuk itu, infrastruktur untuk tujuan berkenaan perlu dibangunkan terlebih dahulu.

    “Bila kita nak mulakan ‘sesuatu’, kita perlu ada infrastruktur kalau tak orang mesti pertikai. Kita berhasrat memulakan polisi teknologi BIM ini pada 2019 dan kita berharap myBIM Centre akan menjadi pusat rujukan daripada segi teknikal, kepakaran, dokumentasi, konsultasi mahupun dari segi ilmiah, ” kata Rofizlan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB e-Construct (CIDBEC) yang bertanggungjawab menguruskan myBIM Centre kepada Bernama.

    Menurut beliau lagi, myBIM Centre pada masa sama turut menjalankan modul latihan dan mendapat subsidi daripada CIDB sekaligus membolehkan mereka yang berminat mengikuti latihan teknologi BIM mendapat harga yang berpatutan.

    Sehingga kini myBIM Centre melatih seramai 1,500 orang profesional dalam bidang teknologi BIM sejak penubuhannya pada 2014.

    Rofizlan pada masa sama berkata meskipun sektor swasta turut menggembleng inisiatif penggunaan teknologi BIM, namun faktor kos yang tinggi sering menjadi halangan untuk lebih ramai penggiat industri mempelajari teknologi itu.

    “Inisiatif latihan khusus mengenai teknologi BIM ini juga dijalankan berdasarkan ‘keluhan’ daripada mereka di luar sana yang berminat tetapi kurang berkemampuan.

    “Melalui cara ini kita berharap agar industri pembinaan akan terus berkembang ke arah teknologi dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara menjelang tahun 2020,” katanya.

    Manfaat BIM

    Mengenali BIM dengan lebih dekat, ia adalah teknologi 3D yang digunapakai dalam membentuk model bangunan sebenar bermula daripada proses reka bentuk, membangunkannya sehinggalah tamat kitaran hidup sesebuah bangunan.

    Menurut Rofizlan, penggunaan teknologi BIM menggabungkan kolaborasi antaranya arkitek, jurutera termasuk juru ukur bahan yang memerlukan mereka ‘duduk bersama’ untuk menghasilkan sebuah model lukisan 3D yang lengkap.

    Penggunaan teknologi komputer berteraskan tiga dimensi (3D) ini banyak membantu penggiat industri dalam menghasilkan yang terbaik dalam sesebuah binaan. – Agensi

    “Tiada lagi istilah ‘asing-asing’ seperti yang berlaku sebelum ini contohnya apabila satu pihak siap (bahagian mereka), maka lukisan itu akan diserahkan kepada pihak seterusnya. “Semua pihak perlu bekerjasama dari awal bagi menghasilkan model binaan yang tepat dan lengkap bagi mengelakkan sebarang masalah apabila membangunkan bangunan sebenar. Ini secara langsung boleh meningkatkan produktiviti malah membantu menjimatkan masa dan kos,” katanya.

    Mengulas lanjut Rofizlan menambah penggunaan teknologi BIM turut mengandungi maklumat dan data tertentu yang berkaitan yang menjadikannya lebih relevan berbanding kaedah konvensional.

    “Bukan sahaja reka bentuk bangunan atau binaan dalam konsep 3D, bahkan lukisan itu akan disertai maklumat sebagai contoh mengenai data mengenai dinding yang digunakan. Dengan teknologi BIM, kita boleh ‘click’ pada dinding dan boleh tahu siapa pengilang, bahan yang digunakan termasuk saiz dinding serta tarikh ia dipasang.

    “Kaedah ini akan membolehkan ‘drawing’ ini digunakan sampai ke tahap pengurusan fasiliti apabila sesebuah bangunan siap dan beroperasi. Apa yang berlaku sebelum ini pihak pengurusan terpaksa mengambil  semula ‘drawing’ daripada kontraktor terlibat untuk periksa semula jika ada masalah pembinaan, malangnya ia tidak mengandungi maklumat lengkap seperti penggunaan BIM,” katanya.

    Beliau pada masa sama turut menambah keadaan itu boleh menjadi lebih rumit apabila perlu melibatkan semua pihak untuk mencari punca masalah sesebuah bangunan.

    Elak ‘Variation order’

    Penggunaan teknologi BIM turut membantu dalam mengelakkan ‘variation order’ (VO) yang sering kali berlaku dalam mana-mana proses pembinaan.

    VO merupakan sebarang perubahan yang tidak mengikut perintah sedia ada untuk sesebuah pembinaan.

    “Reka bentuk awal menggunakan teknologi BIM dapat mengurangkan risiko VO selain pertukaran atau perubahan ‘drawing’ juga tidak akan berlaku. Penyelarasan awal antara arkitek dan jurutera sebagai contoh boleh mengelakkan perbezaan pendapat atau salah faham antara mereka kerana boleh mengesan sebarang ‘isu’ di peringkat awal melalui model yang dibangunkan.

    “Apabila melukis dalam bentuk 3D keseluruhan bangunan dapat dilihat dari atas, bawah, tepi, depan, belakang dan bukan lagi dalam bentuk pelan semata-mata. Projek yang pada asalnya berharga RM10 juta boleh mencecah sehingga RM13 juta jika disebabkan VO,” tegasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -