Penggunaan teknologi digital semakin meningkat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Kerajaan telah mengeluarkan sejumlah perbelanjaan bagi mereka yang hilang pekerjaan dan pada masa yang sama kerajaan juga telah berbelanja dalam melindungi sebilangan pekerjaan dalam menghadapi krisis pendemik COVID-19.

Ini supaya penduduk akan lebih bersedia semasa krisis ini untuk mempersiapkan diri mereka bagi norma baharu pasca COVID-19, ketika keadaan berjalan secara digital dan seterusnya, mereka lebih bersedia untuk mengatasinya.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan mengenai bagaimana negara mengatasi lonjakan digitalisasi disebabkan pandemik COVID-19 yang dihadapi pada masa ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato berkata, “Kita telah melihat banyak negara mengalami ‘lockdown’, dan oleh kerana itu orang ramai tidak dapat keluar, tidak dapat bekerja. Pada masa yang sama, mereka sangat risau tentang ekonomi.

“Oleh itu, beberapa buah negara berfikir di tengah-tengah COVID-19 ini, mereka mahu pekerja-pekerja kembali kepada rutin kerja mereka, ini kerana kerisauan mereka terhadap ekonomi.

“Jika anda melihat ekonomi, kita melihat banyak negara yang meletakkan wang untuk membiayai pengangguran dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Beliau berpendapat, apabila melihat pada COVID-19, penggunaan (consumption) menurun kerana orang merasa takut dalam masa yang tidak menentu ini, orang kurang berbelanja dan sebagainya, tetapi setelah kita keluar dari COVID-19 ini, orang seharusnya mula berbelanja.

“Barang yang orang beli dan cara bekerja akan berubah oleh kerana digitalisasi yang kita lihat pada masa ini.

“Malah di Brunei misalnya, orang melakukan e-platform dan sebagainya. Oleh itu, orang akan memasuki teknologi dan mengalami sedikit perbezaan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada masa akan datang, orang ramai hanya akan memesan secara dalam talian apa sahaja yang mereka perlukan untuk dihantar ke rumah mereka. Ini akan merubah cara bekerja, cara hidup dan sebagainya.

“Kami tidak berkata bahawa kita berbelanja wang yang banyak untuk membayar mereka yang hilang pekerjaan dan duduk di rumah. Kami berkata kami mahu membelanjakan wang berkenaan dalam latihan, dalam melindungi pekerjaan mereka,” tekan Yang Berhormat Dato.

Menurutnya, latihan tersebut termasuklah latihan IT, latihan pengurusan dan sebagainya supaya penduduk akan lebih bersedia.

Beliau menambah, latihan melalui Darussalam Enterprise (DARe) dapat memudahkan mereka yang tidak bersedia untuk digitalisasi dan langkah-langkah yang dibuat adalah untuk mereka lebih bersedia dan bergerak ke ekonomi digital.