Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Penghafaz Al-Quran cekal tempuhi cabaran akademik

    Bukan mudah untuk menjadi seorang penghafaz Al-Quran yang berjaya, setentunya memerlukan perjuangan dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang tempoh pengajian yang mengambil masa tiga tahun atau lebih demi mencapai impian.

    Begitulah perasaan yang terselit dalam jiwa setiap graduan Diploma A’Aliyah Qiraat, Institut Thafiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) pada Majlis Haflut Takharruj ke-9, baru-baru ini.

    Temu bual media dengan Dayang Asiah binti Haji Ibrahim yang merupakan salah seorang graduan yang diraikan di majlis itu, mengongsikan pengalaman beliau semasa lapan tahun pengajian di institut berkenaan.

    Beliau menjelaskan, cabaran untuk menghafal Al-Quran dan menjaganya adalah dengan sentiasa mengulang setiap masa untuk melancarkan bacaan supaya ia tetap di dada.

    Ketika mengongsikan cabaran pengajian semasa negara berhadapan dengan penularan COVID-19, beliau lebih selesa mengikuti pembelajaran secara fizikal kerana ia memudahkan untuk berinteraksi bersama guru berbanding mengikuti pembelajaran dalam talian.

     

    Awang Muhammad Auni Marzuqi mengongsikan pengalaman pengajian semasa pandemik yang terpaksa dilaksanakan secara dalam talian dan dari segi hafazan, ia dipantau setiap hari oleh guru-guru Al-Quran.
    Dayang Asiah, salah seorang graduan yang diraikan pada majlis itu mengongsikan pengalaman beliau semasa lapan tahun pengajian di institut berkenaan.
    Dayang Salwa, salah seorang graduan yang mendapat keputusan Mumtaz melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh ini dan berkat doa ibu bapa dan sokongan dan bimbingan guru-guru.
    Seramai 23 graduan ITQSHHB diraikan pada Majlis Haflut Takharruj ke-9 di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Para ibu bapa dan ahli keluarga graduan yang diraikan semasa menghadiri semasa Majlis Haflut Takharruj ke-9 ITQSHHB. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Ini disebabkan keadaan persekitaran yang kurang selesa menyukarkan bagi lebih fokus terutama terpaksa mencari tempat yang sunyi untuk memberikan tumpuan sepenuhnya bagi pembelajaran dalam talian terutama dari segi hafalan,” jelasnya.

    Beliau turut memberi kata-kata nasihat kepada penghafaz Al-Quran untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran. Di samping itu, beliau turut menasihatkan para penghafaz menghormati guru-guru Al-Quran mereka kerana menurut beliau keberkatan daripada guru itu akan menolong kita menghafal Al-Quran.

    Seorang lagi graduan, Awang Muhammad Auni Marzuqi yang mengikuti pengajian di institut berkenaan selama lapan tahun di mana lima tahun beliau mengikuti pengajian di peringkat menengah sementara tiga lagi di peringkat diploma.

    Awang Muhammad Auni Marzuqi berkongsi pengalaman mencabar ketika menjalani pengajian hujung semester semasa pandemik, yang mana terpaksa dilaksanakan secara dalam talian manakala menyentuh dari segi hafazan, ia dipantau setiap hari oleh guru-guru Al-Quran.

    Beliau pada masa ini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam bidang Thafiz dan Qiraat selama tiga tahun pengajian.

    Sementara itu, Dayang Salwa binti Haji Ibrahim, salah seorang graduan yang mendapat keputusan Mumtaz melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh ini dan berkat doa ibu bapa dan sokongan dan bimbingan guru-guru tempatan dan luar negara dalam memberi nasihat untuk menghalusi sebutan dan melancarkan hafalan 30 juzuk Al-Quran di institut berkenaan selama tiga tahun dalam Diploma A’aliyah Qiraat.

    Beliau yang pada ketika ini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Thafiz dan Qiraat selama tiga tahun di UNISSA berharap akan dapat mendalami bidang ini dengan lebih baik.

    Ketika menyentuh mengenai pembelajaran dalam talian semasa negara berhadapan dengan gelombang kedua pandemik COVID-19 pada tahun lalu, banyak cabaran yang dihadapi di mana beliau menyatakan lebih selesa mengikuti pembelajaran secara fizikal berbanding dalam talian.

    Menurutnya, dengan pembelajaran secara fizikal ia lebih memudahkan untuk berinteraksi sekali gus mendengar sebutan semasa pembelajaran Al-Quran dilaksanakan dan ini sukar dilakukan lebih-lebih lagi ketika menghadapi gangguan talian Internet bagi pembelajaran dalam talian. Beliau seterusnya berharap akan dapat mendalami lagi dan melangkah lebih jauh dalam bidang ini agar bermanfaat kepada orang ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...