IPOH, 28 JULAI – Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar dua minggu lepas.
Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu di sebuah hotel di sini pada kira-kira pukul 12:30 tengah malam pada 16 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Menurut laporan polis, mangsa dijumpai ibunya dalam keadaan terbaring dan khayal di sebuah rumah di Panorama Lapangan Terbang. – Bernama